AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Lancar Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai Pertama Di Johor



PONTIAN, JOHOR – Agrobank melancarkan Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai pertama seumpamanya di Johor, di Kolej Tingkatan Enam Pontian, dalam usaha mempromosi ilmu pengurusan kewangan dan menggalakkan pendigitalan kewangan dalam urus niaga tunai harian terutamanya di kalangan pelajar dan di peringkat institusi pendidikan tinggi.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin     berkata, program ini dibangunkan khusus untuk pelajar di peringkat kolej sekolah itu dengan objektif untuk menyemai budaya pengurusan wang yang betul agar golongan muda lebih bersedia dan bijak mengurus kewangan mereka dan sekali gus menjalankan transaksi secara digital.

Tambah beliau, Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai yang melibatkan golongan pelajar dan para pendidik di Kolej Tingkatan Enam Pontian yang dibangunkan dengan kerjasama Koperasi Kolej Tingkatan 6 Pontian serta sokongan Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, merupakan pengenalan kepada medium baharu yang dibentuk khusus untuk pelajar kolej tersebut mengenai pengurusan mudah pendigitalan kewangan.

“Para pelajar dan warga kerja kolej kini hanya perlu mengimbas kod QR di kafe atau koperasi dengan menggunakan telefon bimbit pintar mereka ketika membuat pembayaran di kantin atau di koperasi.  Konsep ini bukan sahaja memudahkan urusan jual beli, tetapi juga cepat di mana pelajar dan pengusaha kantin tidak perlu menyediakan wang kecil atau wang baki bagi mana-mana bayaran tunai bagi semua transaksi tanpa tunai dengan nilai di antara RM1 dan RM1,000.

“Bagi peniaga atau pengusaha kafe pula, wang hasil perniagaan harian akan terdeposit terus ke dalam akaun dan usahawan boleh menyemak akaun mereka secara atas talian. Kemudahan ini juga membantu mereka memantau rekod kewangan serta mempunyai pengurusan akaun yang lebih teratur,” katanya.

Majlis Pelancaran Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai Kolej Tingkatan Enam Pontian disempurnakan oleh Ketua Jabatan Saluran Dan Pengedaran Agrobank, Syed Hairul Anuar Syed Fadzil di sini, hari ini. Pada majlis itu, Agrobank turut menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM8,000.00 kepada Surau Kolej Tingkatan Enam bagi tujuan penambahbaikan kemudahan asas di surau kolej berkenaan. 

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Koperasi Kolej Tingkatan Enam Pontian juga telah dilantik sebagai Agen kepada Agrobank atau AgroAgent yang berfungsi seperti bank kecil di dalam kolej di mana pelajar serta warga kerja boleh terus ke koperasi untuk menjalankan urusan perbankan seperti mendeposit dan mengeluarkan wang secara terus di koperasi kolej.  

“Para pelajar dan warga kerja kolej kini tidak lagi perlu ke cawangan Bank untuk menjalankan urusan akaun mereka. Warga kolej juga boleh membuat pembayaran bil-bil utiliti dan menambah nilai prabayar (prepaid) telefon mereka menerusi AgroAgent Agrobank ini.” tambahnya.  

Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 370 pelajar termasuk 34 warga kerja kolej telah membuka akaun simpanan Akaun Simpanan Asas-i (Agro BSA-i) dengan jumlah deposit serendah RM30 (RM20 minimum baki deposit dan RM10 sebagai fi pendaftaran kad debit Agro Visa Debit-i). Ini bertujuan untuk membolehkan mereka mengikuti Program Kafe & Koperasi Tanpa Tunai ini.

“Ibu bapa juga boleh mengawal dan memantau akaun dan perbelanjaan anak-anak mereka sama ada menambah wang perbelanjaan mingguan atau bulanan anak-anak mereka menerusi transaksi dalam talian atau deposit tunai di koperasi yang berfungsi sebagai AgroAgent,” kata beliau. 

Kolej Tingkatan Enam Pontian merupakan perintis kepada perlaksanaan program ini. Kolej ini merupakan institusi pendidikan pertama yang dilantik Agrobank untuk perlaksanaan program ini di Daerah Pontian khasnya dan Negeri Melaka serta Johor secara amnya. Kolej ini juga merupakan Ejen Agrobank pertama yang dilantik di kalangan institusi pendidikan, di mana sebelum ini hanya melibatkan premis perniagaan dan organisasi Kerajaan sahaja.