AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Lancar Bank Bergerak Pertamanya Di Malaysia – Bantu Komuniti Luar Bandar Di Sarawak



KUCHING, SARAWAK – Agrobank hari ini melancarkan Bank Bergerak pertamanya.  Agrobank merupakan antara Bank yang pertama di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan Bank Bergerak di sembilan (9) kawasan bagi membantu komuniti luar bandar Sarawak.  Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak.

Majlis pelancaran Bank Bergerak ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Agrobank bagi membantu golongan yang kurang mendapat perhatian (unserved and underserved community) ke arah mencapai rangkuman kewangan serta memperluaskan akses pembiayaan yang juga merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dan Bank Negara Malaysia Sarawak.

Menurut Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank, “Agrobank akan terus memberikan komitmen yang berterusan dalam menyokong inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dalam mencapai rangkuman kewangan serta pada masa yang sama membantu pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar.”

“Dengan potensi pembangunan kegiatan ekonomi di Sarawak, Agrobank melihat keperluan yang lebih besar untuk membantu mendorong peningkatan ekonomi negeri Sarawak.  Kami amat berbesar hati memperkenalkan perkhidmatan perbankan mobil ini dan berbangga menjadi antara Bank yang pertama menyediakan perkhidmatan seumpama ini kepada penduduk di wilayah selatan Sarawak iaitu; Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Linggan, Pantu, Tebedu, Asajaya dan Sebuyau,” kata Mustapha.

Mustapha berkata, “Lebih daripada 72% cawangan dan kiosk Agrobank terletak di kawasan luar bandar dan kami percaya perkhidmatan kewangan yang komprehensif merupakan salah satu medium untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan pemerkasaan individu dan komuniti.  Sekiranya kita lihat, usaha Agrobank ini telah dilaksanakan seawal tahun 1994 di mana Agrobank pada ketika itu telah melancarkan PATRIOT Rejang yang merupakan perkhidmatan perbankan bergerak pertama seumpamanya di Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan perbankan atas bot yang merentasi Sungai Rejang khusus buat komuniti di Kapit, Sibu dan Belaga.”

“Hari ini, usaha kami diteruskan dengan pelancaran Bank Bergerak ini yang akan mewujudkan perkhidmatan perbankan bagi memudahkan masyarakat luar bandar di Sarawak.  Ini adalah sejajar dengan objektif Bank yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat yang kurang mendapat perhatian,” kata Mustapha.

Agrobank sentiasa berusaha untuk mengimbangi peranan pembangunan dan komersialnya dengan menyediakan pembiayaan rantaian nilai penuh untuk sektor pertanian, termasuk aktiviti huluan seperti aktiviti pertanian berasaskan makanan dan komoditi, seterusnya kepada aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan penjualan produk berasaskan pertanian.