AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Umum Program Pembiayaan RM110 Juta Bagi Membantu Perusahaan Mikro Dan Kecil



KUALA LUMPUR – Sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) dengan fokus untuk mengukuhkan sektor pertanian di Malaysia, misi Agrobank kekal teguh demi memastikan kelestarian dan pembangunan sektor pertanian dan industri makanan.  Agrobank hari ini menerusi kerjasama strategiknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memperuntukkan RM110 juta bagi kempen pembiayaannya yang dinamakan ‘Dana Agromakanan Keluarga Malaysia’ sempena dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang dilancarkan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Oktober 2021.

Satu majlis penyampaian replika cek telah diadakan di Ibu Pejabat Agrobank.  YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah menyerahkan replika cek ‘Dana Agromakanan Keluarga Malaysia’ kepada Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank sambil disaksikan oleh YB Datuk Sri Haji Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri MAFI 1; YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh, Timbalan Menteri MAFI 2; YBhg Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI dan Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

Menurut Dr. Ronald, “Pelancaran kempen ini adalah tepat pada masanya kerana ia juga adalah selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang bertujuan memacu pembangunan dan modenisasi industri agromakanan bagi tempoh 10 tahun yang akan datang dan Agrobank komited untuk menyokong usaha DAN 2.0 ini.

“Dana Agromakanan Keluarga Malaysia akan disalurkan melalui dua program pembiayaan Agrobank iaitu (i) Agromakanan (PENJANA), sebuah program pembiayaan usahawan khusus untuk perusahaan mikro dan kumpulan B40 dengan peruntukkan dana sebanyak RM50 juta dan menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000 dan kadar keuntungan serendah 3.5% setahun dan (ii) Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA), pembiayaan khusus untuk usahawan tani dalam industri makanan untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan import dengan peruntukkan dana sebanyak RM60 juta. DPA menawarkan pembiayaan sehingga RM10 juta dengan kadar keuntungan serendah 3.5% setahun bagi pembiayaan RM10,000 – RM5 juta dan 4.75% setahun bagi pembiayaan RM5 juta – RM10 juta,” tambah beliau.

“Sepanjang tempoh kempen, Agrobank akan menawarkan pengecualian fi jaminan untuk kedua-dua dana Agromakanan (PENJANA) dan DPA. Kempen ini adalah sah sehingga keseluruhan dana berjumlah RM110 juta tersebut digunakan sepenuhnya atau sehingga 31 Disember 2021. Menerusi kempen ini, Agrobank dilihat komited untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan usahawan mikro di Malaysia bagi memastikan kemampanan sektor pertanian dan industri makanan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi,” kata Dr. Ronald.

Mengulas mengenai kempen itu, Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank berkata, “Kami mempunyai aspirasi yang lebih besar di Agrobank iaitu untuk mewujudkan akses kepada pembiayaan yang lebih besar melangkaui sektor pertanian di Malaysia sekali gus memaksimumkan potensinya. Sebagai salah satu pemboleh ekonomi utama untuk membawa rangkuman ekonomi yang lebih besar, kami komited untuk mereka bentuk dan merapatkan keperluan unik masyarakat melalui inovasi produk kami serta memacu industri menjadi lebih signifikan dalam menyokong DAN 2.0.”

“Kewujudan Agrobank di seluruh negara mencerminkan dedikasi berterusan kami dalam memastikan akses perkhidmatan kewangan yang menyeluruh mampu dinikmati oleh komuniti yang kurang mendapat perhatian serta pada masa yang sama menyediakan penyelesaian kewangan yang komprehensif, merentasi rantaian nilai pertanian bagi menyokong agenda keselamatan makanan negara. Oleh itu, kami percaya dana daripada program ini akan dapat membantu PKS dan usahawan mikro dalam menguruskan perniagaan mereka,” tambah Mustapha.

YB Datuk Seri, Dr. Ronald Kiandee, YB Datuk Sri Haji Ahmad Hamzah, YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh dan YBhg Dato’ Haslina Abdul Hamid hari ini turut melawat ibu pejabat Agrobank bagi membincangkan pelan strategik berhubung dengan pembangunan sektor pertanian dan industri makanan negara.