AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Prihatin Tawar Penangguhan Bayaran Pembiayaan Kepada Penternak Ikan Yang Terjejas Berikutan El Nino



KUALA LUMPUR Prihatin akan nasib penternak ikan sangkar di sekitar Sungai Temerloh, Pahang yang terkesan akibat fenomena El-Nino, Agrobank mengambil tindakan proaktif menawarkan penangguhan bayaran ansuran (moratorium) atau penstrukturan semula bayaran kepada pelanggan yang layak.

Pelan ini ditawarkan kepada pelanggan Agrobank yang terdiri daripada penternak ikan sangkar yang terjejas pendapatan akibat Sungai Pahang yang mengalami keadaan cetek luar biasa. Ramai pengusaha ikan dalam sangkar terjejas teruk akibat fenomena ini.

Keadaan Sungai Pahang di sekitar Temerloh bertambah kritikal sejak sebulan lalu menyebabkan hampir 17 pengusaha ikan sangkar yang juga merupakan pelanggan Agrobank hilang mata pencarian, dengan anggaran purata kerugian sehingga RM50,000 (setiap seorang) setelah ikan ternakan mereka mati.

Rata-rata pengusaha ikan sangkar menyambut baik langkah Agrobank dalam penawaran pelan penangguhan ini.

Menurut salah seorang penternak ikan sangkar di Sungai Temerloh yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Penternak dan Peniaga Ikan Sungai Pahang, En Khaidir Ahmad, 54, berkata Keprihatinan Agrobank dalam memahami masalah kami sangat dihargai. Pendapatan kami terjejas teruk dengan situasi El-Nino yang luar biasa. Jadi dengan tawaran penangguhan ini, sekurang-kurangnya kami boleh menyusun atur kembali kewangan perniagaan kami, kata En. Khaidir Ahmad.

Pendapat yang sama turut disokong oleh Rosmaini Sulaiman,63, Sebelum ini ikan patin dan tilapia ternakan saya sudah mula mati akibat cuaca panas. Namun apabila sungai jadi cetek, keadaan menjadi semakin teruk dan saya telah kerugian hampir RM20,000. Mujur Agrobank menawarkan pelan penangguhan. Ini mengurangkan bebanan yang terpaksa saya hadapi sekarang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, pelan berkenaan bertujuan untuk membantu dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh pelanggan Agrobank menghadapi bencana yang tidak disangka. Ini merupakan langkah proaktif Agrobank dalam memastikan pelanggan tidak terbeban dan dalam pada masa yang sama membantu penternak untuk memulihkan semula sangkar ikan ternakan mereka.

Fenomena El-Nino menyebabkan Sungai Pahang cetek dalam keadaan luar biasa. Kita dimaklumkan ramai pengusaha ikan sangkar yang kerugian besar. Pihak Agrobank berpendapat sesetengah pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka pada saat-saat genting seperti ini.

Oleh yang demikian, kami menawarkan bantuan berupa pengguhan bayaran ansuran pembiayaan dan penstrukturan semula bayaran pembiayaan bagi pelanggan-pelanggan yang layak. Pihak bank akan memproses dan menilai setiap permintaan mengikut keadaan masing-masing, kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Pelan penangguhan Agrobank meliputi perkara berikut:

  1. Moratorium atau penangguhan bayaran ansuran pembiayaan untuk pelanggan yang kehilangan sumber pendapatan dan mengalami kemusnahan projek boleh dipertimbangkan penagguhan bayaran ansuran bulanan sehingga 12 bulan.
  2. Penyusunan dan penstrukturan semula pembiayaan untuk pelanggan yang berkelayakan yang terlibat dengan bencana banjir.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi, satu perjumpaan dengan semua pelanggan terlibat telah diadakan di Cawangan Agrobank Temerloh pada 5 Mei 2016 bagi memberi penerangan dan kefahaman berkaitan dengan moratorium yang telah diluluskan. Pihak bank juga telah membuat lawatan ke beberapa projek pelanggan yang terjejas bagi meninjau keadaan ternakan dan tahap keterjejasan akibat daripada fenomena El Nino.

Para pelanggan yang terjejas disaran untuk ke cawangan Agrobank terdekat untuk mendapatkan keterangan lanjut. Selain itu, pelanggan juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Agrobank di talian 1-300-88-2476 atau layari laman web rasmi Agrobank di www.agrobank.com.my.

Inisiatif yang sama juga pernah dilakukan oleh Agrobank untuk pelanggan-pelangganya yang terlibat dengan banjir pada tahun 2014 yang melanda negeri-negeri di Pantai Timur.