AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Program komuniti Agrobank disambut meriah oleh warga Jerlun



JERLUN – Agrobank hari ini menganjurkan Program Komuniti Agrobank khusus untuk penduduk tempatan di Jerlun, Kedah.  Program komuniti yang dirasmikan oleh YB Dato’ Wira Othman Hj. Aziz, Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Ahli Parlimen Jerlun menerima kunjungan daripada sekurang-kurangnya 700 penduduk di sekitar Jerlun.

Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, Program Komuniti Agrobank adalah bersifat komuniti atau kemasyarakatan yang sering dilaksanakan untuk mendekatkan pihak bank dan penduduk setempat.

Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, “Agrobank (dahulu dikenali sebagai Bank Pertanian Malaysia) yang pertama telah dibuka di Alor Setar Kedah pada April 1969.  Matlamat utama pembukaannya adalah untuk membiayai projek pengairan bagi menampung penanaman padi dwimusim di Kedah dan Perlis yang dikenali sebagai kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).  Jadi, negeri Kedah sentiasa istimewa bagi Agrobank.”

“Menerusi program komuniti ini, pelbagai aktiviti telah disediakan kepada pengunjung yang hadir.  Selain taklimat kewangan bagi menyuntik ilmu kepada para agropreneur berkaitan produk dan pembiayaan Agrobank, Program Celik Wang juga turut diadakan khusus untuk kanak-kanak yang hadir. Melalui Program Celik Wang, kanak-kanak didedahkan dengan maklumat tentang cara jimat, belanja dan berkongsi wang simpanan (Save, Spend & Share) dengan bijak serta cara-cara berbelanja dengan menggunakan buku wang saku yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).”

“Selain daripada itu, kaunter semakan CCRIS dan pemeriksaan kesihatan percuma juga turut disediakan oleh rakan strategik program ini iaitu BNM dan Pharmaniaga,” tambah beliau lagi.

Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal turut memaklumkan, setakat Disember 2017, Agrobank  merekodkan peningkatan bagi jumlah pembiayaan di negeri Kedah  iaitu sebanyak RM632.43 juta dengan peningkatan sebanyak 5.0% lebih tinggi daripada pertumbuhan yang dicatatkan setakat tahun 2016 iaitu sebanyak RM602.31 juta. 

“Ini menunjukkan bahawa kegiatan pertanian di Kedah ini masih giat dan aktif.  Negeri Jelapang Padi ini merupakan antara lokasi yang mempunyai tanah serta kekayaan hasil bumi yang subur, oleh itu, prospek perniagaan berasaskan agro tampak cerah. Selain penanaman padi, aktiviti perniagaan hiliran seperti pemprosesan makanan turut menjadi pilihan usahawan terutamanya golongan muda ” tambah beliau lagi.

Pada program yang sama, Agrobank juga turut menyampaikan sijil pelantikan kepada lima (5) AGROAgent baru di Kedah.  Selain itu, Agrobank turut menyampaikan surat tawaran pembiayaan kepada tujuh (7) orang penerima dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM347,000 serta menyampaian zakat kepada tiga (3) organisasi dengan jumlah keseluruhan RM 24,300.00.

YB Dato’ Wira Othman Hj. Aziz juga turut merasmikan Jerlun Entrepreneur Development Initiative (JEDI), iaitu satu inisiatif daripada Parlimen Jerlun dalam usaha membantu usahawan dalam meneroka peluang pemasaran dengan lebih luas lagi.  Turut hadir di program yang sama adalah YB Datuk Abu Hassan Sharif, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUNKota Siputeh dan Puan Masaat Awadz, yang menanggung tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.