AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Rumah Ternak Ikan An-Nisa’ Kelantan Perintis Teknologi Bioflok Dalam Sektor Perikanan



Agrobank hari ini merasmikan Rumah Ternak Ikan An-Nisa’ selaras dengan Program Agrobank Aquaculture Aspire yang telah dilancarkan baru-baru ini bertujuan memperkasa pertanian bandar melalui teknologi bioflok untuk melakukan aktiviti perikanan.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Selaras dengan agenda keterjaminan makanan dan memastikan kelestarian alam sekitar, Agrobank memperuntukkan sebanyak RM12,000.00 untuk membekalkan set teknologi bioflok kepada Rumah Ternak Ikan An-Nisa’, selaku perintis projek ini.

“Melalui pembekalan set bioflok ini, ia memberi peluang kepada pihak masjid untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti pertanian bandar, khususnya kegiatan perikanan. Selain itu, projek bioflok ini bukan sahaja menggalakkan penglibatan aktif kariah masjid, malah ia turut mengimarahkan institusi masjid dengan kegiatan yang memberi manfaat kepada komuniti setempat. Melalui pengurusan penternakan ikan tilapia, ahli kariah berpeluang untuk berkumpul dan bekerjasama, seterusnya mengeratkan ukhuwah dalam kalangan mereka.”

“Teknologi bioflok merupakan inovasi yang mentransformasikan industri akuakultur melalui kaedah pengurangan pertukaran air menerusi adaptasi pemprosesan sisa domestik. Spesies Tilapia dipilih kerana kesesuaiannya dengan iklim tempatan dan permintaan pasaran yang memberangsangkan. Penternakan ikan ini bukan sahaja memastikan ketersediaan sumber makanan yang tinggi protein, tetapi juga menyumbang kepada keterjaminan makanan. Seiring dengan itu, usaha ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya sekuriti makanan dan keperluan untuk memperkukuh sistem pengeluaran makanan tempatan.”

Majlis Perasmian Rumah Ternak Ikan An-Nisa’ telah disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis Binti Almarhum Tengku Abdul Hamid sambil dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Dalam majlis yang sama, sumbangan turut disampaikan kepada 100 orang penerima yang terdiri daripada pelajar tahfiz dan anak yatim dari Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Huffaz, Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Riyadh dan Rumah Kebajikan Darul Aitam.

Agrobank komited memperkasa industri akuakultur, menyedari kepentingan sektor ini dalam
menjamin keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi negara.