AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Program Hijrah Asnaf Ruminan Agrobank Ubah Nasib Lapan Anak Muda Asnaf Di Kuala Nerang



KUALA NERANG, KEDAH – Agrobank dengan kerjasama Lembaga Zakat Kedah (LZK) dan Hayat Teras Maju telah melancarkan Program Hijrah Asnaf Ruminan melibatkan lapan anak muda di Kuala Nerang, Kedah dengan peruntukkan zakat keseluruhan berjumlah RM120,000.

Program berstruktur yang dirangka khusus untuk memberikan pendedahan latihan kemahiran berkaitan penjagaan haiwan dan perniagaan, minda keusahawanan, asas pengurusan kewangan, pemasaran digital dan juga pemantauan perniagaan selama enam hingga 12 bulan itu menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan dan pengetahuan perniagaan dikalangan anak muda asnaf terutamanya di kawasan pedalaman.

Menurut Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, YM Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husin, “Program ini merupakan program pembangunan asnaf yang pertama melibatkan industri ruminan, yang merupakan salah satu usaha kami di Agrobank untuk meramaikan penglibatan usahawan terlatih dalam industri ini. Bagi pihak Agrobank, saya amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan LZK dan Hayat Teras Maju sebagai rakan strategik Agrobank.”

Melalui program ini, LZK telah membantu dalam mengenalpasti dan menyediakan senarai peserta Asnaf yang berpotensi untuk mengikuti program ini manakala Hayat Teras Maju telah berperanan dengan memberikan latihan dan pengalaman sebenar dalam menguruskan perusahaan ternakan dan sekaligus membuka peluang keusahawanan kepada golongan asnaf (fakir miskin dan mualaf) dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

Program keusahawanan yang bersifat dinamik ini turut mendapat bimbingan teknikal dengan pemantauan menyeluruh daripada jurulatih perniagaan bertauliah di Agrobank Centre of Excellence (ACE) dalam mencapai objektif program yang telah ditetapkan oleh Agrobank.

“Pengagihan zakat untuk program ini merupakan inisiatif berterusan Agrobank dalam mengambil pendekatan yang lebih bermakna dengan memberi sumbangan kepada asnaf. Menerusi dana zakat ini, setiap peserta diberikan bantuan dua ekor lembu untuk fasa pertama selama tiga bulan. Hasil jualan dua ekor lembu ini digunakan untuk membeli 10 ekor kambing termasuk dua ekor baka untuk diuruskan bagi fasa seterusnya.”

“Namun begitu, hak zakat pada asasnya akan terhenti apabila asnaf telah melebihi had kifayah yang telah ditentukan oleh jawatankuasa zakat. Untuk itu, anak muda asnaf ini akan turut ditawarkan kemudahan pembiayaan mikro daripada Agrobank sekiranya mereka berhajat dan bercita-cita untuk memajukan perniagaan mereka ke peringkat yang seterusnya pada masa akan datang,” tambah kata Tengku Ahmad Badli Shah.

Menurut Zaaidulfaiz Sobri, 26, salah seorang peserta program Hijrah Asnaf Ruminan Agrobank, “Saya sememangnya bercita-cita dari kecil lagi untuk terlibat dalam perusahaan ternakan ini kerana ayah saya turut menternak lembu dan kambing. Oleh itu apabila saya dipilih oleh Agrobank, LKZ dan Hayat Teras Maju untuk turut sama terlibat dalam program ini, saya berasa sangat bersyukur kerana sepanjang beberapa bulan ini, telah banyak yang saya pelajari berkaitan ternakan lembu dan kambing dan saya berjanji untuk terus berusaha dengan lebih keras lagi untuk menjayakan program ini.”

Sebelum ini, Agrobank telah bekerjasama dengan beberapa pihak yang berkaitan seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL), Universiti Malaysia Terengganu serta beberapa anchor company seperti APT Sdn Bhd untuk Bomb Burger dan Ekza Food Resources untuk program Jom Sate.