AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Kerjasama Agrobank dan Nekmat Beri Peluang kepada Isteri-Isteri Nelayan



KUALA KEDAH, KEDAH – Agrobank hari ini telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) bagi Program Pembiayaan Mikro Agro Nisaa-i khusus untuk komuniti nelayan yang bertujuan untuk membantu isteri-isteri nelayan dalam menjalankan bisnes agro mereka. Seramai 700 tetamu dari komuniti nelayan hadir di majlis perasmian di Kompleks LKIM Kuala Kedah.

Majlis telah dirasmikan oleh YB Dato’ Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Dato’ Mohd Sallehuddin Bin Hassan, Ketua Setiausaha Kementarian Pertanian dan Industri Asas Tani dan tetamu kehormat yang lain.

Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, ini adalah sebahagian inisiatif Agrobank untuk membantu komuniti nelayan bersama NEKMAT. Kerjasama ini seiring usaha untuk menyokong usaha strategik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam membangunkan sektor pertanian negara.

“Untuk makluman, program ini merupakan program perintis di mana untuk permulaan, seramai 200 orang isteri nelayan atau usahawanita di bawah NEKMAT didaftarkan untuk program ini dengan pembiayaan yang kompetitif dan kadar keuntungan serendah 4% khusus untuk program di bawah kerjasama ini,” tambah Tan Sri Mohamad Zabidi. Melalui pembiayaan Agro Nisaa’, usahawan wanita juga mendapat sokongan rakan (peer support) serta bimbingan daripada pegawai Agrobank. Selain kadar pembiayaan yang rendah, kelulusan pembiayaan Agro Nisa yang lebih singkat, tiada cagaran dan ada perlindungan takaful kemalangan untuk peserta.

Menurut beliau lagi, program ini dikelolakan oleh Agrobank dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (PNK) Kuala Kedah.  Selain menyediakan pembiayaan kepada agropreneur wanita ini, Agrobank berperanan membantu dari segi memberi khidmat nasihat berkaitan dengan selok-belok perniagaan manakala PNK pula menyediakan infrustruktur dari segi lokasi dan ruang pembelajaran.

“Agrobank berbesar hati untuk bekerjasama dengan NEKMAT melalui program khusus ini bagi pembangunan isteri-isteri nelayan. Ini seiring dengan peranan Agrobank yang komited untuk menyediakan kemudahan kewangan bagi membantu golongan yang kurang mendapat perhatian (serving the unserved and underserved community) terutamanya golongan B40.  Sasaran kita adalah pembiayaan ini memberi fokus kepada usahawan mikro memulakan dan memajukan perniagaan mereka.  Agrobank berharap agar pembiayaan Agro Nisaa’-ini dapat membantu untuk meningkatkan taraf hidup usahawan wanita terutamanya golongan B40 sekaligus meningkatkan taraf sosioekonomi pendapatan isi rumah keluarga nelayan itu sendiri.”

Agro Nisaa’ telah dilancarkan pada 25 November 2018 yang lalu dan sehingga Jun 2019, Agrobank telah berjaya membiaya 510 orang agropreneur wanita mewakili 35 buah pusat wanita dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM3.0 juta di bawah program ini.