AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Sedia Bantu Penggiat Seni Tanah Air Rancakkan Perniagaan Mereka Menerusi Pelbagai Inisiatif Menarik



KUALA LUMPUR – Agrobank sedia membantu penggiat seni untuk merancakkan lagi perniagaan mereka menerusi pelbagai penawaran produk pembiayaan dan perkhidmatannya yang menarik termasuklah sesi perkongsian ilmu tadbir urus perniagaan dan kewangan, penyediaan kertas kerja perniagaan serta penjenamaan produk bagi merancakkan lagi perniagaan sedia ada mereka.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Kami di Agrobank amat berbesar hati untuk turut sama membantu pengiat seni tanah air untuk turut sama merancakkan lagi perniagaan mereka dengan pelbagai program pembiayaan dan inisiatif yang bersesuaian dan menarik, sekali gus merancakkan lagi sektor pertanian dan agromakanan negara.”

“Melalui sesi taklimat bersama Agrobank yang berlangsung selama hampir tiga jam ini, dapat saya simpulkan bahawa para penggiat seni tanah air yang hadir ke sesi kali ini berada di landasan yang betul dan mempunyai prospek perniagaan yang berpotensi besar dan berdaya maju untuk diketengahkan. Oleh yang demikian, saya percaya dengan memberikan mereka maklumat yang jelas dan terperinci akan kemudahan dana dan pembiayaan serta perkhidmatan yang disediakan oleh Agrobank akan dapat membantu mereka membuat pilihan yang tepat untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kebolehpasaran perniagaan mereka,” tambah beliau lagi.

Kira-kira 30 penggiat seni yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, pelawak dan pengacara telah hadir ke sesi taklimat Agrobank yang dikendalikan oleh Ketua Jabatan Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE), Rosli Jusoh dan Pengurus Cawangan Kuala Lumpur Agrobank, Mohd Haizan Mohd Aziz, yang membincangkan permasalahan yang sedang dihadapi mereka dalam menjalankan perniagaan mereka dan sekali gus memperkenalkan produk dan perkhidmatan Agrobank yang bersesuaian yang boleh ditawarkan kepada penggiat seni ini.

Berkongsi pendapat dan harapan para penggiat seni menerusi taklimat ini, Anne Abdullah berkata, “Bagi pihak saya dan rakan-rakan penggiat seni, kami amat berbesar hati apabila dijemput oleh pihak Agrobank untuk hadir ke sesi taklimat ini dan ia sekali gus mengubah persepsi kami akan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Agrobank, yang ia tidak terhad kepada aktiviti pertanian semata, malah ia merangkumi keseluruhan rantaian agromakanan, termasuklah aktiviti hiliran dan huluan.”

“Sebagai contoh, menerusi program PEMULIH NewBiz yang ditawarkan oleh Agrobank, ia dapat membantu penggiat seni yang ingin bermula dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian dan agromakanan dengan penawaran modal permulaan sebanyak RM5,000 pada tahun pertama dan RM10,000 pada tahun kedua, dengan kadar keuntungan yang rendah, termasuklah kemudahan moratorium bagi tempoh enam bulan pertama pembiayaan,” tambah Anne lagi.

Antara yang turut hadir ke sesi taklimat tersebut adalah Ketua Pegawai Kewangan Agrobank, Kamarul Azman Kamarozaman dan Rosdi Effendi Mohammed Effendi, Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komunikasi Agrobank beserta para penggiat seni tempatan seperti Anne Abdullah, Abon, Kuna, Kuza, Ayu Damit, Nadia Mustafar, Laila Nasir, Ezlynn, dan lain-lain.