Agrobank Perkasa Etika Dan Profesionalisme Melalui Minggu Integriti
Agrobank hari ini melancarkan Minggu Integriti bertujuan memupuk kesedaran kepentingan integriti dalam kehidupan seharian dan profesional yang seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan keseluruhan sesebuah organisasi.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Integriti merupakan satu prinsip utama yang mesti diterapkan dalam urusan kehidupan seharian termasuk dalam pekerjaan, urusan pentadbiran dan kepimpinan. Integriti bukan sekadar kata-kata, tetapi merupakan pemangkin kepada budaya kerja yang positif dan cemerlang. Tambahan pula, ia mesti diterapkan dalam setiap diri warga kerja tidak kira pangkat, dari pengurusan atas ke pihak pelaksana.”
Beliau turut berkata, “Selain dapat menangani isu-isu kritikal seperti rasuah, penipuan dan penyalahgunaan kuasa di tempat kerja, prinsip integriti juga berkait rapat dengan kualiti kerja dan perkhidmatan yang kita sampaikan kepada rakan sekerja atau para pelanggan. Ia mencerminkan komitmen kita terhadap kecemerlangan dan profesionalisme dalam setiap aspek kerja.”
Untuk mengukuhkan budaya pematuhan integriti dan akauntabiliti dalam kalangan kakitangan, Agrobank turut melaksanakan Kempen 3B (Buat Betul Betul) yang telah dilancarkan sejak Februari 2024. Melalui kempen ini, terdapat pelbagai pengisian yang menarik termasuk kunjungan istimewa oleh pihak pengurusan kanan ke semua ’region’ bagi menekankan kepentingan pematuhan terhadap dasar, peraturan dan standard etika.
Agrobank turut menyediakan modul E-Latihan dan Pembelanjaran serta sesi interaktif
bersama pakar-pakar industri khusus untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan pematuhan
dan tingkah laku etika yang dirangka khusus untuk Agrobankers.
Agrobank berharap inisiatif-inisiatif yang diketengahkan ini dapat mengukuhkan identiti korporat Agrobank sebagai institusi kewangan yang berintegriti tinggi. Reputasi ini bukan sahaja meningkatkan daya saing organisasi, malah menjamin kemampanan prestasi warga kerja untuk tahun-tahun mendatang.