Agrobank Perkasa Ekosistem Perbankan Luar Bandar Melalui Rangkaiannya di Sungai Koyan
Agrobank hari ini merasmikan satu rangkaian baharu di Sungai Koyan yang bertujuan memperluas aksesibiliti perbankan di kawasan pedalaman. Inisiatif strategik ini juga merupakan komitmen Agrobank meningkatkan perkhidmatannya di seluruh negara, terutamanya di kawasan luar bandar dan sektor pertanian khususnya di negeri Pahang.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Agrobank percaya bahawa perkhidmatan kewangan yang menyeluruh dan mudah diakses merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan pembangunan sosial. Dengan menjadi penyedia perkhidmatan kewangan tunggal di kawasan Sungai Koyan, Agrobank mengambil langkah strategik ini untuk menghapuskan jurang kepada akses kewangan serta memperkasa komuniti unserved dan underserved. Ini mencerminkan komitmen kami untuk menjadikan akses perbankan lebih dekat dengan rakyat tanpa mengira latar belakang.”
“Antara servis perbankan yang ditawarkan di Agrobank Sungai Koyan termasuk pembukaan akaun simpanan atau akaun deposit tetap, perkhidmatan melibatkan tunai melalu ATM dan CDM serta khidmat nasihat berkaitan permohonan pembiayaan. Perkhidmatan ini membuka peluang kepada penduduk di Sungai Koyan untuk meningkatkan kualiti hidup mereka kerana kebanyakan mereka di kawasan luar bandar berhadapan dengan cabaran akses perkhidmatan kewangan yang terhad dan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan bagi aktiviti ekonomi terutamanya yang menyumbang kepada rantaian makanan,” tambah beliau.
“Kami juga telah mengadakan pelbagai aktiviti pembangunan perkhidmatan perbankan di negeri Pahang antaranya program cashless Pekan Sehari Temerloh, Program Penjaja Cashless di Simpang Pelangai dan Kampung Cashless di Ulu Tembeling.”
Di majlis yang sama, Agrobank turut menyampaikan sumbangan zakat bernilai RM10,000.00
kepada 50 orang penerima dan penyerahan kanopi kepada lima orang penjaja.