AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Menjadi Rakan Penaja Karnival Bekwoh, Santuni Komuniti Setempat Di Tumpat, Kelantan Dengan Pelbagai Pengisian Program Menarik



TUMPAT – Agrobank dengan kerjasama Kelab Pemilik Volkswagen Klasik Kelantan, menjadi rakan penaja Karnival Bekwoh di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan sepanjang 11 – 13 Jun 2022.

Karnival yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu sarat dengan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik berkonsepkan kekeluargaan seperti sukaneka kanak-kanak, sukan pantai, persembahan kebudayaan seperti dikir barat, wayang kulit, gerai jualan dan promosi serta pameran khas kereta Volkswagen klasik yang dipamerkan sepanjang karnival itu berlangsung.

Karnival ini turut dimeriahkan lagi dengan siri konvoi 350 buah kereta Volkswagen klasik dengan penyertaan lebih 600 orang peserta daripada seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Indonesia dan Thailand ke lokasi tumpuan pelancong menarik di sekitar Kelantan seperti Masjid Kg Laut yang merupakan masjid tertua di Asia Tenggara.

Simbolik pelepasan atau ‘flag off’ siri konvoi ini telah disempurnakan oleh Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

Mengulas mengenai penyertaan Agrobank dalam karnival ini, Tengku Ahmad Badli berkata, program yang disertai oleh Agrobank bersempena musim cuti sekolah ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Agrobank untuk menyantuni dan mendekati komuniti setempat di Kelantan dan sekaligus meningkatkan kesedaran tentang produk dan perkhidmatan kewangan Agrobank dalam kalangan masyarakat.

“Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini pastinya merupakan platform yang terbaik buat Agrobank untuk mendekati komuniti setempat di Tumpat, Kelantan secara santai dan meningkatkan kesedaran mereka akan jenama dan produk serta solusi kewangan Agrobank yang patuh syariah, merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro.”

“Kaunter promosi Agrobank turut dibuka di tapak karnival dan beroperasi sepanjang hari bagi memudahkan para peserta karnival dan penduduk setempat mendapatkan maklumat terkini mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Agrobank seperti pembukaan akaun deposit, Takaful Kasih Plus, dan program-program pembiayaan Agrobank berkaitan sektor pertanian dan agromakanan yang begitu sinonim dengan aktiviti ekonomi komuniti setempat di Kelantan,” tambah beliau lagi.

Penduduk setempat di Tumpat dan di sekitarnya telah hadir untuk memeriahkan karnival serta turut singgah di kaunter Agrobank untuk menyertai pelbagai aktiviti yang menawarkan pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung bertuah.