AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Melalui iTEKAD Perkasa Usahawan Asnaf Dan B40 Menerusi Program Tanaman Kelapa



PERLIS, 18 OKTOBER 2024 – Agrobank menganjurkan Program Hijrah Asnaf Tanaman Kelapa bagi pemerkasaan golongan asnaf dan B40 dalam menjana pendapatan melalui aktiviti pertanian.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Kelapa menawarkan prospek yang luas dalam pasaran kerana kegunaannya yang pelbagai, khususnya sebagai bahan asas masakan. Nilai komersial kelapa yang tinggi dapat dilihat melalui setiap bahagiannya, dari isi sehingga kulit, dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam industri pemprosesan makanan.”

“Mengambil kira potensi besar pasaran kelapa, Agrobank telah melancarkan projek pertanian komersial dan berimpak besar iaitu aktiviti penanaman kelapa yang mensasarkan golongan belia asnaf dan B40. Program pembangunan belia berstruktur ini menyediakan latihan, bimbingan serta sokongan kewangan kepada para peserta terpilih untuk memulakan projek penanaman kelapa. Pelaksanaan Program Hijrah Asnaf Tanaman Kelapa telah mendapat peruntukkan melebihi RM1 juta dari dana zakat Agrobank dan geran iTEKAD Bank Negara Malaysia,” tambah beliau.

“Bagi memastikan keberkesanan inisiatif ini, para peserta diberikan 2.5 ekar tanah untuk diusahakan dan akan dipantau oleh syarikat peneraju. Agrobank mensasarkan pendapatan para peserta mencecah sehingga RM4,000 sebulan melalui penjualan hasil tanaman kelapa kepada syarikat peneraju pada harga yang ditetapkan. Inisaitif ini bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup mereka tetapi juga menyokong pertumbuhan industri kelapa di Malaysia.”

Program inovatif ini menggariskan komitmen Agrobank terhadap pembangunan pertanian lestari dan impak sosial. Dengan memperkasakan golongan belia asnaf dan B40 melalui penanaman kelapa, Agrobank bukan sahaja menangani isu ketidaksamaan pendapatan tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan sektor pertanian Malaysia.

Inisiatif ini sejajar dengan matlamat negara dalam keterjaminan makanan, pembangunan luar bandar, dan pembasmian kemiskinan. Melalui usaha yang bersasar ini, Agrobank terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan yang lebih makmur dan lestari bagi pertanian Malaysia dan komunitinya.

Di majlis yang sama Agrobank menyampaikan sumbangan RM1,000.00 kepada Masjid Nurul Iman Felcra Lubuk Sireh, Perlis dalam usaha menggiatkan aktiviti kemasyarakatan. Selain itu, sumbangan bernilai melebihi RM20,000.00 dan bakul makanan turut disampaikan kepada 163 orang asnaf. Majlis pelancaran Program Hijrah Asnaf Tanaman Kelapa telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Raja Muda Perlis.