AGROBANK Logo
  • Downloads
  • Branch/ ATM Locator
  • Search

Agrobank Berkongsi Keceriaan di Bulan Ramadan Bersama Golongan yang Memerlukan



KUALA LUMPUR – Sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) dengan fokus untuk membangunkan komuniti yang kurang mendapat perhatian, Agrobank telah melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial di sepanjang bulan Ramadan 1440H dengan menyalurkan bantuan zakat kepada golongan asnaf.    

Menurut Tuan Syed Alwi Mohamad Sultan, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia kerana di bulan Ramadan, ianya bukan hanya untuk menjalani ibadah berpuasa tetapi turut memberi peluang kepada umat Islam untuk melaksanakan kebajikan serta beramal. 

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, Agrobank giat melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik khususnya dalam memberi kegembiraan untuk menyambut bulan Syawal yang bakal menjelang.  Usaha bersepadu Agrobank dalam menyalurkan bantuan zakat kepada asnaf sentiasa menjadi keutamaan kami dan pihak Bank berharap bantuan yang diberikan pada bulan Ramadan ini dapat membantu mereka yang memerlukan.  

Agrobank telah melaksanakan pelbagai siri bantuan zakat di sepanjang bulan Ramadan seperti:

Program Kasih Ramadan, 16 Mei 2019

Agrobank telah menganjurkan Program Kasih Ramadan iaitu satu program tanggungjawab sosial tahunan Bank untuk meraikan anak-anak asnaf.  Pada tahun ini, Agrobank telah menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM45,600 serta membeli persiapan hari raya buat anak-anak dari Pertubuhan Baitul Ehsan Al-Khairi. 

Selain itu, pengisian pembelajaran semasa program ini turut dianjurkan di mana, anak-anak ini turut diberi pendedahan mengenai pengurusan kewangan berhemah dan sejarah kewangan mata wang di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia. Di sebelah petang, anak-anak asnaf dibawa ke Parkson, Nu Sentral untuk membeli barang-barang kelengkapan raya bersama sukarelawan dari Agrobank.

Penyampaian Zakat kepada Lembaga Zakat Selangor, 29 Mei 2019

Bantuan zakat diteruskan di mana Agrobank telah menyampaikan sumbangan zakat berjumlah RM 354,250 pada satu majlis ‘Ihya Ramadan’ DYMM Sultan Selangor bersama rakyat di Masjid Taman Seri Muda, Seksyen 24.  DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada Agrobank yang disampaikan oleh Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank.

Turut berangkat ke majlis berkenaan adalah Tengku Amir Shah  ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Raja Muda Selangor,  YB Tuan Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan dan YB Tuan Haji Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor.

Penyampaian Zakat kepada Zakat Pulau Pinang, 29 Mei 2019

Sumbangan zakat RM 40,000 turut disampaikan kepada Zakat Pulau Pinang.  Tuan Haji Abdul Halim Md Akid, Pengarah Agrobank Wilayah Pulau Pinang, Kedah dan Perlis menyampaikan sumbangan zakat kepada YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.  Sumbangan zakat ini diharap dapat membantu golongan asnaf di sekitar Pulau Pinang dalam menyambut Syawal.

Penyampaian Zakat kepada Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan, 30 Mei 2019

Agrobank telah menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM71,055 kepada Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan. DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menerima sumbangan zakat yang disampaikan oleh Encik Kamarul Azman Kamarozaman @ Amir, Ketua Pegawai Kewangan Agrobank.

Penyampaian Zakat kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, 30 Mei 2019

Sumbangan zakat diteruskan dengan penyampaian zakat kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu, Pahang.  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menerima zakat sebanyak RM 275,500 daripada Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank.

“Kita berharap usaha kecil yang dijalankan dapat memberi kegembiraan dan keceriaan kepada golongan asnaf ini bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dan kami berharap program dan sumbangan seumpama ini dapat terus dijalankan di masa hadapan,” tambah Tuan Syed Alwi.

  • English
  • Bahasa