AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Rakan Strategik Agro: Agrobank tandatangani MoU bersama Mydin & PPK Kuala Langat



SERDANG, SELANGOR – Agrobank hari ini memeterai dua (2) perjanjian persefahaman bersama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) Kuala Langat yang disaksikan oleh YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank dan tetamu yang hadir. Majlis dianjurkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa 2018 (MAHA 2018) anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

MoU DENGAN PPK KUALA LANGAT

Agrobank menyediakan pembiayaan berkelompok bagi membantu para peserta di bawah Program Pelepasan Pemasaran Bersepadu Agropreneur Muda Ternakan oleh PPK Kuala Langat. Menerusi inisiatif ini, Agrobank akan membantu peserta yang tergolong di bawah kumpulan B40 dan M40 dengan menyediakan pembiayaan modal kerja untuk membeli ruminan daripada pembekal yang berdaftar di bawah PPK Kuala Langat. Ini untuk memastikan pengeluaran ruminan adalah mencukupi untuk menampung permintaan pasaran terutama semasa musim perayaan Aidiladha.

Melalui program ini, Agrobank menawarkan pembiayaan minimum sebanyak RM3,000 – RM300,000 dengan kadar keuntungan serendah 3.75% setahun untuk tempoh 5 tahun.

Menurut Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank (P/CEO), kerjasama antara Agrobank & PPK Kuala Langat ini adalah untuk menyediakan solusi pembiayaan bagi agropreneur melalui pengurusan modal yang berpatutan. Inisiatif ini diharap dapat membantu usahawan dalam mengembangkan perniagaan ruminan mereka. Program ini merupakan salah satu daripada usaha Agrobank dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan di negara ini.

MoU DENGAN MYDIN

Sementara itu, Agrobank juga turut mewujudkan kerjasama strategik dengan Mydin bagi menyediakan kemudahan pembiayaan dan perkhidmatan perbankan kepada Mydin dan pembekalnya dalam rantaian pembekal mereka. Menerusi MoU ini, Agrobank bakal menyediakan pakej pembiayaan yang sesuai kepada pembekal Mydin dan dalam masa yang sama menyokong operasi dan aktiviti rantaian nilai perniagaannya.

“Program ini merupakan platform untuk meningkatkan kewujudan para usahawan agro dalam industri kecil dan sederhana (IKS) di pasaran dan pada masa yang sama memastikan perniagaan mereka dapat dikekalkan di sepanjang rantaian nilai serta membantu mereka mengembangkan perniagaan mereka dalam industri runcit moden.  Melalui inisiatif ini, kami berharap ia dapat menggalakkan usahawan IKS untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam industri pengeluaran makanan Malaysia. Ianya secara tidak langsung menyediakan pelbagai produk pembiayaan pertanian yang bakal memberi manfaat kepada pelanggan Mydin,” kata Tuan Syed Alwi.

PELANCARAN BUKU: “TEROKAI POTENSI INDUSTRI SAYUR-SAYURAN MALAYSIA”

Pada majlis yang sama, Agrobank juga turut melancarkan buku berjudul “Terokai Potensi Industri Sayur-Sayuran Malaysia”. Penerbitan ini menyediakan pelbagai maklumat berkaitan perniagaan berasaskan sayuran serta potensi perniagaan pelbagai jenis sayuran yang dihasilkan di negara ini. Penerbitan ini sesuai dalam membantu untuk usahawan muda yang merancang untuk memulakan perniagaan mereka dalam bidang tanaman sayuran. Buku ini dijual pada harga RM65 dan boleh dibeli dengan menghubungi Puan Nurhayati Mohd Ghazali; e-mel; nurhayati.mg@agrobank.com.my atau hubungi: 03-2731 1600 (sambungan: 4004).