Farmbyte Dan Agrobank Menjalinkan Kerjasama Strategik Untuk Memperkukuhkan Keterjaminan Makanan Malaysia
Serdang, 11 September 2024 – Dalam usaha mentransformasikan dan memperkukuh landskap pertanian Malaysia, FarmByte dan Agrobank harini mengumumkan kerjasama strategik yang bertujuan untuk memperkukuhkan sektor agro-makanan negara. Kolaborasi ini bertujuan memperkasakan petani-petani kecil dengan menyediakan sokongan pembiayaan dan akses kepada pasaran sekali gus memacu ke arah pertanian yang lestari dan menguntungkan.
Kerjasama yang dirasmikan dalam satu majlis di Malaysia Agriculture, Holiculture and Agrotourism (MAHA 2024) di MAEPS Serdang, menyaksikan Agrobank memperuntukkan sebanyak RM12 juta sebagai tanda sokongan kepada Program Pembiayaan Pertanian Ladang Kontrak FarmByte yang merangkumi perbelanjaan operasi ladang. Program ini memfokuskan kepada tanaman-tanaman seperti terung panjang, terung mini, peria, cili sakata, cili kulai dan bendi di mana projek perintisnya akan dilancarkan di Johor sebelum dikembangkan ke seluruh negara.
Kerjasama ini menunjukkan komitmen FarmByte untuk memanfaatkan teknologi canggih dalam meningkatkan amalan pertanian. Melalui FarmByte, para petani akan mendapat akses kepada data masa nyata mengenai permintaan tanaman, trend bekalan, dan ramalan harga. Gabungan pendekatan berasaskan data dan sokongan kewangan daripada Agrobank, ianya dijangka akan meningkatkan hasil tuaian dan kestabilan pasaran untuk petani-petani kecil.
“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan FarmByte dalam inisiatif baharu ini,” kata Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank. “Dengan menawarkan sokongan kewangan dan jaminan pasaran untuk 50 petani dengan bantuan kewangan maksimum sehingga RM239,940 bagi setiap peserta, kami bukan sahaja meningkatkan taraf hidup petani tetapi juga menyumbang kepada jaminan bekalan makanan Malaysia. Kerjasama ini merupakan langkah penting ke arah membina sektor pertanian yang lebih berdaya tahan.”
“Selain itu, Agrobank berharap untuk melihat lebih ramai usahawan terlibat dalam sektor pertanian dan kami percaya MAHA adalah salah satu platform untuk mendekati komuniti yang kurang mendapat perhatian,” tambah beliau.
FarmByte ialah sebuah syarikat agromakanan digital di bawah Johor Corporation (JCorp), berada di barisan hadapan dalam memacu inovasi dalam industri agromakanan Malaysia. Menurut Syed Aiman Kifli Syed Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FarmByte, kerjasama dengan Agrobank selari dengan visi syarikat untuk merevolusikan pertanian dengan menyediakan sumber kewangan dan teknologi kepada petani.
“Matlamat kami adalah untuk memperkasa petani dalam menghasilkan tanaman berkualiti dan bernilai tinggi, seterusnya memastikan rantaian nilai agromakanan yang lebih mampan dan menguntungkan,” kongsi beliau. “Dengan sokongan Agrobank, kami bukan sahaja dapat menawarkan kepada petani bantuan kewangan tetapi juga alat dan pandangan yang mereka perlukan untuk berjaya dalam pasaran yang kompetitif.”
Perkongsian ini merupakan perjanjian offtake yang terjamin, di mana FarmByte komited untuk membeli semua hasil tuaian daripada petani yang menyertai program ini. Perjanjian ini menyediakan pasaran yang selamat dan stabil kepada petani, mengurangkan risiko kewangan yang berkaitan dengan pertanian dan memastikan rantaian bekalan yang konsisten.
Perjanjian perkongsian strategik ini ditandatangani oleh YM Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Syed Aiman, Ketua Pegawai Eksekutif FarmByte.