AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Perkasa Penjaja Kecil – Agrobank Anjur Kempen Bazar Ramadan Cashless



PAHANG, 16 MAC 2024 – Dalam usaha memperkasakan penjaja-penjaja kecil di Malaysia, Agrobank hari ini melancarkan Kempen Bazar Ramadan Cashless di Sungai Koyan. Kempen ini telah dilancarkan sejak 1 Mac sehingga 9 April bertempat di 19 bazar Ramadan di seluruh negara. Kempen ini adalah bertujuan untuk mempromosikan transaksi tanpa tunai dalam kalangan penjaja-penjaja tempatan. Pelancaran kempen ini merupakan batu loncatan bagi Agrobank untuk memacu ekonomi yang berasaskan pembayaran tanpa tunai.

Majlis pelancaran diserikan oleh Menteri Besar Pahang, Y.A.B Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan DiPertua Majlis Daerah Lipis Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim. Turut serta, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah menekankan kelebihan pembayaran melalui kod QR untuk peniaga tempatan terutamanya dalam bulan Ramadan. “Inisiatif Cashless Bazar Ramadan merupakan platform yang ideal bagi penjaja tempatan untuk menggiatkan penggunaan bayaran digital. Mengambil kira kesibukan bazar Ramadan, ia juga memudahkan para pelanggan untuk berbelanja. Kempen ini merupakan salah satu inisiatif Agrobank untuk memperkasakan kewangan digital dalam kalangan komuniti tempatan.”

Selain itu, kempen ini juga mengetengahkan kelebihan Program PEMULIH NewBiz yang ditawarkan Agrobank dalam menyediakan bantuan kewangan kepada individu yang berminat untuk memulakan perniagaan berasaskan makanan. Program ini menawarkan kemudahan pembiayaan sehingga RM5,000 berserta enam bulan moratorium dengan keuntungan 0%. Selepas tempoh moratorium, kadar keuntungan yang dikenakan adalah serendah 3% ke atas baki bulanan. Bantuan kewangan ini memberi peluang kepada usahawan baru untuk mengorak langkah dalam bidang keusahawanan.

Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia, Agrobank turut menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM9,000 untuk memberi manfaat kepada 45 orang pelajar Maahad Tahfiz Ar Rushd. Menerusi inisiatif Kempen Bazar Ramadan Cashless, Agrobank proaktif dalam memupuk masyarakat yang inklusif dan sejahtera, sebagai pemacu kepada pembangunan sosio-ekonomi dan komuniti.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang kemudahan pembiayaan PEMULIH NewBIZ, layari www.agrobank.com.my, hubungi kami di 1-300-88-2476 atau kunjungi cawangan Agrobank berdekatan.