AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Kolaborasi Agrobank Dan Nekmat Tingkat Taraf Hidup, Pendapatan Nelayan



SERDANG, 20 SEPTEMBER 2024 – Agrobank mengorak langkah menyantuni para nelayan melalui jalinan kerjasama strategik bersama Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan pendapatan isi rumah keluarga nelayan.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Agrobank memahami kesukaran hidup golongan nelayan yang menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha mencari rezeki di lautan luas dan sering menghadapi pelbagai ancaman seperti bencana alam, kerosakan pukat, perubahan iklim dan gangguan ekosistem perairan negara.”

“Memahami ‘denyut nadi’ dan kepentingan nelayan kepada hasil laut negara, Agrobank dan NEKMAT tampil menjalinkan kerjasama melalui beberapa program yang dirangka khusus dalam usaha memperkasa nelayan di seluruh negara,” tambahnya juga.

Antara program yang di telah dijalankan adalah seperti berikut:

  1. Penempatan Semula Nelayan (PSN)

Program ini adalah program pembiayaan kepada warga nelayan untuk memperolehi rumah di bawah projek perumahan PSN LKIM. Projek perumahan yang sedang berjalan adalah PSN Bunut Rendang, Kuantan (154-unit rumah), PSN Kuala Sg. Baru, Melaka (60 unit rumah) dan PSN K.Perlis, Perlis (60 unit rumah).

  1. Program Bimbingan Keusahawanan dan Pembiayaan Secara Solidariti (dikenali sebagai Program Agro Nisaa-i)

Menyasarkan golongan wanita dari keluarga nelayan bagi membiayai aktiviti ekonomi sampingan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah. Program ini dijalankan dalam perkampungan nelayan dan kini terdapat dua pusat TERAS NISA’A iaitu di Kuala Kedah dan Kualan Jerlun, Kedah.

Bagi kedua program ini Agrobank memperuntukkan pembiayaan sehingga RM500,000 dan bagi Program Agro Nisaa-i: Pembiayaan minimum RM1,000 sehingga maksimum RM30,000.

Selain itu, Agrobank juga sedang giat membangunkan projek ladang kontrak dengan melibatkan penyertaan dari warga komuniti nelayan sebagai peserta projek bersama-sama dengan pemain industri yang berpengalaman sebagai peneraju projek. Antara projek yang dikenal pasti adalah ternakan akuakultur menggunakan bio-floating net cage.

Bagi tujuan memantapkan program sedia ada serta mewujudkan program baru ladang kontrak, sebanyak RM50 juta akan diumumkan semasa acara menandatangani nota kerjasama strategik ini bagi tujuan penyaluran pembiayaan.

Inisiatif ini terbuka kepada semua usahawan Agrobank yang berdaftar dengan NEKMAT, serta memenuhi syarat umum untuk Penempatan Semula Nelayan dan Program Agro Nisaa-i.

Dengan kerjasama ini, Agrobank berhasrat untuk terus memperkasakan komuniti nelayan dan memajukan sektor pertanian melalui pembiayaan berstruktur dan peluang ekonomi baru.