AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Belanjawan 2021: Agrobank Sambut Baik Inisiatif untuk Komuniti Agro



KUALA LUMPUR – Agrobank menyambut baik perbentangan Belanjawan 2021 bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” yang mana telah menggariskan pelbagai inisiatif, rancangan tindakan, langkah fiskal dan insentif untuk mengurangkan beban yang dihadapi oleh rakyat Malaysia kesan daripada penularan pandemik global yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi.

Menurut Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Belanjawan 2021 membuktikan komitmen utuh Kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi sambil menitikberatkan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi kesan penularan COVID-19.

“Kami menghargai usaha Kerajaan dalam memastikan Belanjawan 2021 akan inklusif, bertanggungjawab dan komprehensif ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi yang berterusan dengan mengambil kira kepentingan semua golongan di negara ini sebagai warga negara Malaysia terutamanya dalam menghadapi cabaran dalam situasi semasa ekonomi yang suram pada saat ini,” katanya.

Beliau menekankan beberapa inisiatif yang telah diumumkan oleh Kerajaan dan dirangka dengan baik untuk memberi manfaat kepada komuniti agro yang melibatkan semua kaum, serta segmen utama seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kedua-dua kumpulan pendapatan Bawah 40% (B40) dan 40% Pertengahan (M40). Inisiatif khusus yang berkaitan dengan komuniti agro merangkumi seperti berikut:

  • Kerajaan menyediakan sejumlah RM95 juta menerusi Program Pembiayaan Mikro Kredit Khas khusus untuk memperkasakan usahawan wanita yang akan disalurkan melalui Agrobank dan agensi kerajaan lain
  • Penambahbaikan Bantuan Pembayaran Balik Bersasaryang kini meliputi individu kategori B40 dan M40 dan penerima sedia ada Bantuan Sara Hidup (BSH) yang mempunyai pembiayaan hingga RM150, 000
  • Peruntukan berjumlah RM150 juta di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan yang akan disalurkan melalui Agrobank dan menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada nelayan di zon A dan B untuk menaik taraf peralatan pukat dan kapal.
  • Dana berjumlah RM60 juta untuk Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan yang akan disalurkan melalui Agrobank dan menawarkan pembiayaan sehingga RM1 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada pengusaha pertanian untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan IR 4.0
  • Peruntukan RM30 juta untuk peluasan Program Kebun Komuniti separa bandar dan luar bandar, yang menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan media tanaman bernilai sehingga RM500 untuk setiap individu atau RM50,000 bagi setiap komuniti
  • Pelaksanaan Projek Pertanian Organik di peringkat komuniti dengan peruntukan RM50 juta turut diumum dan dijangka memanfaatkan 1,000 komuniti.
  • Pelaksanaan projek pertanian berimpak dan bernilai tinggi dengan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui kerjasama dengan kerajaan negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan ternakan udang galah di Negeri Sembilan
  • Pelaksanaan Program Pengembangan Akuakultur dengan peruntukan RM10 juta secara geran padanan sehingga RM20,000 kepada pengusaha mikro untuk membeli peralatan bagi mengembangkan ternakan akuakultur bernilai tinggi

“Didorong oleh matlamat Agrobank untuk memfokuskan kepada program yang bertujuan untuk menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan dan terpinggir, Agrobank menyokong inisiatif Kerajaan dengan memperuntukkan sejumlah dana berjumlah RM95 juta untuk menyediakan pembiayaan modal kerja kepada usahawan wanita, secara tidak langsung akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan wanita dalam waktu sukar mendepani pandemik COVID-19 ini. Kami di Agrobank percaya dengan meningkatkan produktiviti dan modal insan di kalangan wanita, ia akan memberi impak positif untuk pertumbuhan ekonomi negara yang mampan dalam jangka masa panjang,” tambahnya.

Agrobank turut mengalu-alukan penambahbaikan Bantuan Bayaran Bersasar yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 berkaitan lanjutan moratorium dan bantuan pembayaran balik yang dipermudahkan untuk pembiayaan bank yang akan diberikan kepada kelompok  B40 dan M40, termasuk pengusaha mikro bagi mengurangkan beban kewangan mereka, kesan daripada penularan pandemik COVID-19.

“Keutamaan segera kami adalah untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik dengan memberikan sokongan dan fleksibiliti kepada para pelanggan kami yang mungkin sedang memasuki fasa ketidaktentuan kewangan pada ketika ini. Pengumuman Belanjawan 2021 ini adalah sebahagian daripada program bantuan yang lebih luas yang kami harapkan dapat membantu para pelanggan kami terutamanya kelompok berpendapatan B40 dan M40 dalam tempoh yang mencabar ini.”

“Dengan situasi pandemik yang belum pernah terjadi sebelum ini yang turut memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat, kami ingin mengalu-alukan semua pelanggan kami untuk menghubungi pengurus cawangan atau pegawai perhubungan masing-masing untuk membincangkan penyelesaian untuk mengatasi segala permasalahan kewangan yang mungkin sedang mereka hadapi. Kami di Agrobank akan terus responsif kepada perubahan keperluan mereka dan akan terus menawarkan bantuan pembayaran balik dan menerima permohonan sehingga Jun 2021.”

Pelanggan yang memerlukan maklumat lebih lanjut berkaitan bantuan pembayaran balik Agrobank, boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan di 1300 88 2476 atau e-mel customer@agrobank.com.my, atau menghubungi pegawai perhubungan atau cawangan masing-masing, atau layari www.agrobank.com.my

Mengulas mengenai pembiayaan yang diberikan oleh Agrobank di bawah dua program – Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan dan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan, Khadijah berkata, “Peruntukan RM210 juta untuk kedua-dua program ini pastinya akan dapat merangsang pelaburan dalam penggunaan teknologi moden dalam industri pertanian dan pengeluaran makanan, dan seiring dengan keperluan untuk memenuhi jaminan bekalan makanan masa hadapan.”

Secara keseluruhan, Belanjawan 2021 adalah konklusif dan inklusif, dengan mengambilkira pelbagai kumpulan ekonomi komuniti agro termasuk petani, nelayan dan pekebun kecil, agropreneur wanita dan B40, pengeksport makanan, sayuran dan buah-buahan, dan lain-lain.

Sehubungan dengan itu, Agrobank akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk menjangkau lebih ramai pelanggan serta memastikan bahawa program dan insentif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021 dapat dilaksanakan dengan cepat untuk memberi manfaat maksimum kepada Rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.