AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Sambut Baik Pelan Pemulihan Negara Dan Komited Untuk Terus Menyokong Pertumbuhan Ekonomi Negara



KUALA LUMPUR –  Agrobank menyambut baik Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun, dan akan terus menyokong kerajaan Malaysia serta pelanggan Bank untuk mendepani situasi ekonomi berikutan penularan pandemik COVID-19.

Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, strategi peralihan yang dibentangkan pada Selasa itu telah disusun secara teliti menerusi empat fasa dengan setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan kepada tiga indikator utama untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya, dan ia membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membantu negara dan rakyat untuk pulih sepenuhnya daripada COVID-19, dan seterusnya memastikan semua sektor kembali pulih dan beroperasi seperti sedia kala secara berperingkat-peringkat. 

Indikator pertama adalah tahap penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, indikator kedua menekankan keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan indikator ketiga merujuk kepada tahap populasi yang dilindungi, berasaskan kepada peratusan lengkap mereka yanh telah divaksinasi. 

Khadijah berkata,”Strategi peralihan menerusi empat fasa yang digariskan oleh kerajaan telah disusun dengan baik dengan tempoh masa pemulihan yang munasabah bagi sektor kesihatan dan ekonomi, justeru itu pelaksanaannya secara serius serta sokongan daripada rakyat Malaysia adalah penting bagi memastikan negara memperoleh kemenangan dalam mengatasi krisis global ini.”

“Agrobank juga menyambut baik langkah yang diambil di bawah fasa kedua pemulihan di mana aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat-peringkat dengan membenarkan kehadiran pekerja sehingga 80 peratus mengikut kapasiti premis. Ini akan mula merancakkan ekonomi negara terutamanya bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pengumuman yang dibuat semalam juga selari dengan pelan pemulihan Agrobank untuk menyokong pelanggan PKS kami menerusi pelbagai initisiaf yang telah dijalankan oleh Agrobank,” katanya.

Sejak tahun 2020, Agrobank telah mengumumkan bulan Jun sebagai Bulan PKS Agrobank. Matlamatnya adalah untuk mengetengahkan kepentingan dan sumbangan besar sektor PKS, khususnya pengusaha dalam perniagaan agro (agropreneur) terhadap kehidupan, komuniti dan ekonomi melalui pelbagai program yang telah dijalankan oleh Agrobank, antaranya siri Agro-X di Astro Awani, siri mingguan Cerita Agroprenuer Kita di saluran YouTube Agrobank (Agrobank TV) dan juga sesi webinar, Dialog SME Sabah. Ini juga diadakan bersempena sambutan Hari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) yang diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 27 Jun setiap tahun.

Khadijah turut mengulas “PKS merupakan tulang belakang kepada sektor ekonomi negara. Kami percaya bahawa, sumbangan mereka kepada ekonomi harus dihargai, dan mengetengahkan   bagaimana PKS menghadapi perubahan landskap perniagaan dan Pelan Pemulihan Negara berjaya menangani perkara ini. Sehingga May 2021, Agrobank telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM174 juta kepada 14,610 usahawan mikro dan PKS di bawah pakej rangsangan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).”

“Agrobank akan terus menyokong pelanggan kami menerusi pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan. Sebagai institusi kewangan yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan dan kemajuan komuniti dalam industri pertanian, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu pelanggan kami yang berhadapan masalah kewangan agar mereka dapat menumpukan kepada perkara yang lebih kritikal dalam aspek kehidupan mereka dan sekaligus dapat keluar daripada situasi sukar ini,” katanya.

Khadijah menegaskan, Agrobank sentiasa menyeru kepada pelanggannya yang terjejas untuk menghubungi pegawai cawangan atau pengurus perhubungan masing-masing untuk membincangkan penyelesaian kepada sebarang permasalahan kewangan yang sedang dihadapi oleh mereka.

“Bagi pelanggan yang menghadapi masalah untuk membuat pembayaran ansuran bulanan, Agrobank menawarkan bantuan pembayaran dan menerima permohonan sehingga akhir Disember 2021 di bawah program Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar (BBPB). Kami komited untuk membantu pelanggan kami dan mempertimbangkan kemungkinan untuk menawarkan penyusunan dan penjadualan semula pembiayaan yang terbuka kepada  pelanggan perniagaan dan PKS kami, serta individu yang terjejas oleh situasi semasa,” katanya.

Pelanggan boleh menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan Agrobank di 1300 88 2476 atau e-mel customer@agrobank.com.my atau menghubungi pegawai perhubungan atau cawangan masing-masing, atau layari www.agrobank.com.my untuk mendapatkan maklumat lajut berkaitan bantuan yang ada.