AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin Dilantik Sebagai Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Yang Baharu



KUALA LUMPUR, 5 JANUARI 2022 – Agrobank hari ini mengumumkan pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin sebagai Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif (P/CEO) Agrobank berkuatkuasa 3 Januari 2022.

Berbekalkan 29 tahun pengalaman dalam bidang perbankan dan kewangan, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin merupakan seorang yang berkaliber dan berpengalaman serta mempunyai sejarah prestasi yang terbukti membanggakan dalam industri ini.

Sebelum berkhidmat di Agrobank, beliau telah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di beberapa institusi kewangan di Malaysia iaitu Pelaburan MARA Berhad (PMB), Kuwait Finance House dan HSBC Bank Malaysia Berhad.

Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank berkata, “Kami amat mengalu-alukan pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam menerajui tampuk pimpinan di Agrobank. Kami yakin menerusi pengalaman luas beliau dalam perancangan strategik, pembangunan perniagaan, perundangan dan pembiayaan patuh syariah, ditambah pula dengan kemahiran kepimpinan beliau, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan Agrobank sebagai sebuah peneraju institusi kewangan pertanian terkemuka di Malaysia.”

“Pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin menandakan dedikasi berterusan Agrobank untuk memastikan pencapaian dalam menerajui Pelan Perniagaan Strategik (SBP) 2021 – 2025 sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian negara. Pihak Lembaga Pengarah Agrobank juga yakin bahawa beliau mampu memacu dan menerajui fasa penting Agrobank seterusnya membantu komuniti yang kurang mendapat perhatian serta mengubah landskap kewangan berasaskan pertanian melangkaui perbankan sejajar dengan panduan yang digariskan dalam pengantaraan berasaskan nilai (VBI),” jelas Dato’ Mustapha Buang.

Mengulas mengenai pelantikannya, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Saya dengan rasa rendah diri dan berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menerajui Agrobank, iaitu sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) yang diamanahkan untuk memastikan pembangunan serta membentuk landskap sektor pertanian negara. Agrobank telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam memenuhi peranan yang telah dimandatkan kepadanya terutama dalam tempoh pandemik COVID-19. Ini menandakan kejayaan kepimpinan pengurusan Bank dan dedikasi serta komitmen warga kerja Agrobank.”

Katanya, “Menerusi SBP Agrobank yang telah dilancarkan pada tahun lepas (2021), dan komitmen berterusan pihak Pengurusan Kanan serta dedikasi warga kerja Agrobank, saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap pembangunan kejayaan Agrobank. Fokus saya kini adalah untuk meneruskan momentum kejayaan yang ada dan pada masa yang sama mewujudkan impak yang positif dalam memastikan kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan pulangan kepada pihak berkepentingan kami.”

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin merupakan ahli Institusi Pengarah Korporat Malaysia (ICDM). Beliau telah menghadiri Program Kepimpinan Kewangan Islam di Kolej Clare, Universiti Cambridge, United Kingdom dan Program Kepimpinan Eksekutif di Universiti Cornell, Amerika Syarikat. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, LLB (Kepujian) di Universiti East Anglia, Norwich, England.