AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Tanjung Manis Memacu Transformasi Sarawak Ke Arah Masa Depan Tanpa Tunai



SARAWAK, 22 JUN 2024 – Agrobank terus memacu usaha ke arah mempromosikan transformasi Sarawak menuju masyarakat cashless atau tanpa tunai dengan melancarkan Program Cashless Komuniti di Tanjung Manis, Sibu baru-baru ini. Inisiatif bertunjangkan CSR ini bertujuan untuk menjayakan agenda keterangkuman kewangan yang menyeluruh di Sarawak melalui revolusi sistem pembayaran digital dan transaksi tanpa tunai, untuk dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak khususnya buat komuniti terpinggir dan di luar bandar.

Selain menyantuni komuniti luar bandar dan memperkasa golongan peniaga kecil dan mikro (SME), Program Komuniti Cashless Agrobank turut mempromosikan penggunaan ciri Agrobank DuitNow QR sebagai pilihan utama kaedah pembayaran yang menawarkan urusan transaksi kewangan lebih pantas, selamat dan cekap ke arah kecekapan kewangan yang mampan. Melalui kelebihan ini, Agrobank bukan lagi sekadar menyokong perniagaan kecil dan mikro ke arah pengurusan perniagaan yang lebih efektif malah turut menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan perniagaan mereka.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Usaha Agrobank ke arah mewujudkan masyarakat cashless atau tanpa tunai melalui ekonomi digital menjadi tunjang kepada inisiatif program komuniti cashless di seluruh negara. Melalui kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak, Bank Negara Malaysia (BNM), PayNet dan lain-lain agensi, kami dapat memperluas akses kepada rangkuman perkhidmatan kewangan digital yangberteraskan ekosistem tanpa tunai secara menyeluruh di Sarawak.

Penyatuan usaha ini malah dijangka akan merangsang pertumbuhan ekonomi Sarawak yang mampan dan inklusif, melangkaui batasan perbankan konvensional dengan impak yang mendalam ke atas pemodenan sektor pertanian dan industri makanan di sepanjang rantaian nilai. Agrobank amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada usaha merealisasikan transformasi ini,” ulas beliau.

Dalam majlis yang sama, Agrobank menyerahkan replika cek berjumlah RM869 ribu kepada 25 usahawan sebagai simbolik kelulusan Dana Skim Mikro Sarawak (SKMS) bagi daerah Tanjung Manis. Penyaluran dana bagi daerdah Tanjung Manis ini adalah bertujuan untuk membantu golongan B40 dan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang terkesan akibatimpak ekonomi dari pandemik COVID-19. Majlis ini disempurnakan oleh Yang Berbahagia Datuk Haji Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N41 Kuala Rajang, diiringi Encik Mohamed Iqbal, Ahli Lembaga Pengarah Agrobank dan disampaikan kepada wakil penerima iaitu Rahayu Binti Badawi and Abang Mohammad Iswandy Bin Abang Hashim.

Agrobank turut mengumumkan sumbangan perlindungan bernilai RM2 juta melalui Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus bagi menyerikan lagi majlis. Penyerahan cek replika ini disempurnakan oleh Encik Abdul Halek bin Abdullah, Pengarah Wilayah Sarawak Agrobank kepada Persatuan Peniaga dan Penjaja Tanjung Manis. Sumbangan ini menyerlahkan peranan dan komitmen Agrobank dalam menyediakan perlindungan kewangan Takaful terbaik di Malaysia.

Turut berlangsung adalah penyerahan sumbangan zakat sebanyak RM5 ribu kepada 100 penerima asnaf di Tanjung Manis. Penyerahan replika cek zakat disampaikan oleh Datuk Haji Len Latiff diiringi oleh Encik Mohamed Iqbal bin Mohamed Iqbal.

Terdahulu, majlis ini dimulakan dengan upacara perasmian Kiosk Tanjung Manis Agrobank yang telah pun beroperasi sejak Mei 2023 bagi memenuhi keperluan kewangan komuniti tempatan dan pendalaman di daerah ini. Tengku Ahmad Badli Shah menambah, “Pelancaran Kiosk Tanjung Manis Agrobank menzahirkan usaha dalam memperluaskan akses kepada perkhidmatan kewangan yang terangkum. Kiosk ini juga bakal menjadi pusat kewangan utama di daerah ini, memanfaatkan bukan sahaja penduduk sekitar malahan daerah kejiranan seperti Kuala Rajang, Jerijeh, and Belawai.”

“Kiosk Tanjung Manis telah menguruskan lebih daripada 500 pembukaan akaun pelanggan baharu sejak memulakan operasi pada tahun lepas. Pencapaian ini menyerlahkan peranannya dalam mempromosikan sektor kewangan yang inklusif serta berdaya-saing. Justeru, kami akan terus menyokong insiatif kerajaan negeri Sarawak untuk menjayakan ekosistem tanpa tunai bagi memacu kelestarian pertumbuhan ekonomi yang makmur di wilayah ini,” tambahnya lagi.