AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Santuni Golongan B40 Dan Asnaf Di Seluruh Malaysia Dengan Kotak Makanan Sempena Hari Makanan Sedunia



KUALA LUMPUR, 16 OKTOBER 2024 – Agrobank hari ini menyantuni komuniti tempatan dengan mengagihkan kotak makanan kepada 1260 orang golongan B40 dan asnaf di seluruh Malaysia sempena Hari Makanan Sedunia. Program ini dianjurkan bagi menyambut inisiatif Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) untuk meningkatkan kesedaran tentang kebuluran dan nutrisi di seluruh dunia.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Makanan adalah keperluan asas manusia untuk kekal cergas dan bertenaga dalam menjalani kehidupan seharian. Akses kepada makanan yang memenuhi keperluan diet seharusnya bersifat inklusif menjangkau setiap sudut masyarakat Malaysia tidak mengira latar belakang.”

“Rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan akses makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat. Sejajar dengan temanya pada tahun ini, “Makanan Sejagat untuk Masyarakat”, Agrobank menyantuni golongan B40 dan asnaf dengan menyediakan sumbangan dalam bentuk kotak makanan. Kotak makanan ini mengandungi barangan asas yang membolehkan penerima menyediakan hidangan harian yang bersih, selamat dan sihat.”

“Usaha menghapuskan jurang akses kepada makanan berkhasiat dalam kalangan rakyat Malaysia dapat memastikan sekuriti makanan negara yang merupakan aspek penting untuk kesejahteraan rakyat. Walau bagaimanapun, apabila kebolehcapaian makanan terjamin, kesedaran untuk mengelakkan pembaziran dalam penyediaan dan pengambilan makanan juga menjadi tanggungjawab kita.” tambahnya.

Sambutan Hari Makanan Sedunia ini turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat daripada Agrobank kepada golongan asnaf dan B40 dengan jumlah keseluruhan RM70,000.00 melalui pejabat wilayah Agrobank seluruh Malaysia serta acara memasak yang diketuai oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan (IKP), Agrobank memberi sokongan penuh bersempena sambutan Hari Makanan Sedunia kepada para petani dan pemain-pemain industri yang menyumbang kepada setiap rantaian nilai makanan dengan menawarkan produk-produk perbankan dan perkhidmatan yang berpatutan.