AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Sumbang RM446,700 Zakat Perniagaan Kepada MAIPk



KUALA LUMPUR – Agrobank menyampaikan bayaran zakat perniagaan bagi tahun 2018 sebanyak RM446,700 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada satu majlis penyampaian yang berlangsung pada 22 Ogos 2019 di Istana Changkat, Kuala Lumpur.

Zakat perniagaan tersebut telah disampaikan oleh Zahid Ahmad Zawawi, Ketua Pegawai Operasi Agrobank kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah mewakili MAIPk.  Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg Dato’ Dr. Mohamad Hashim Ahmad Tajudin, Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Ahmad Shahril Mohd Shariff, Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank dan Kamarulzaman Ghazali, Pengarah Wilayah Perak Agrobank.

Zahid berkata, sumbangan zakat ini bertujuan untuk membantu meringankan beban golongan asnaf serta secara tidak langsung dapat mengurangkan kekangan kewangan yang dihadapi mereka.

“Sebagai sebuah syarikat korporat yang prihatin dan menyedari tentang peningkatan kos sara hidup, pihak Agrobank berharap usaha ini dapat membantu golongan asnaf dalam menjalani kehidupan seharian daripada segi kewangan serta bantuan membeli barangan keperluan harian dan sebagainya,” kata Zahid.

“Zakat mempunyai nilai kemanusiaan yang mendalam. Melalui zakat, ianya dapat mewujudkan perpaduan dan mengukuhkan hubungan di kalangan masyarakat dengan mengagihkan kekayaan kepada golongan miskin dan yang memerlukan. Pembayaran zakat juga membantu memurnikan jiwa dan mendorong seseorang untuk bersyukur atas kurniaan Allah S.W.T.,” tambah Zahid.