Agrobank Sumbang Dana Sebanyak RM150,000 Untuk Perkasa Usahawan B40 Sabah Melalui Program Ternak Ikan Keli
SABAH, 24 MEI 2024 – Agrobank hari ini telah menyerahkan dana sumbangan sebanyak RM150,000 dalam sesi lawatan ke tapak Program Pembangunan Asnaf Aquapreneur di Pusat Latihan Akuakultur Ko-Nelayan (KATC), Tuaran Sabah. Program Pembangunan Asnaf Aquapreneur ini adalah kerjasama antara Agrobank Centre of Excellence (ACE), Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan Sabah), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Hidayah Centre Foundation.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Melalui peruntukan dana, program pembangunan asnaf ini bertujuan memberi pendedahan kepada para peserta, yang terdiri daripada golongan asnaf-mualaf di Sabah tentang ilmu akuakultur. Selain itu, pihak Agrobank Centre of Excellence (ACE) menyediakan latihan-latihan dan kursus-kursus yang dapat meningkatkan ilmu keusahawanan mereka.”
“Seramai 10 orang peserta terpilih akan menjalani sesi latihan selama enam bulan. Mereka dibekalkan 2 set Aqua Starter Kit, 3000 benih ikan keli, dedak ikan dan keperluan-keperluan lain. Hasil ternakan ikan keli ini akan dijual semula kepada Ko-Nelayan Sabah pada harga yang ditetapkan. Projek ternakan ikan keli ini dijalankan di lokasi berbeza-beza mengikut lokaliti para peserta termasuk di Tuaran, Kota Belut, Papar, Beaufort dan Keningau. Program ini telah bermula sejak bulan Januari 2024 dan seramai tiga orang peserta telah berjaya menunjukkan hasil ternakan secara optimum,” tambah beliau.
“Program keusahawanan berstruktur ini adalah salah satu usaha Agrobank dalam membasmi masalah kemiskinan dengan membuka peluang pekerjaan kepada para belia untuk menceburi sektor perikanan. Hasil ternakan ikan keli yang dijual semula dapat membantu meningkatkan tahap pendapatan mereka untuk menyara keperluan, di samping kos sara hidup yang kian meningkat. Pihak Agrobank mensasarkan peningkatan pendapatan para peserta sebanyak hampir RM2,000 bagi setiap satu pusingan ternakan ikan iaitu selama tiga bulan,” ujar beliau.
Sesi lawatan ke tapak Program Pembangunan Asnaf Aquapreneur di Pusat Latihan Akuakultur Ko-Nelayan (KATC) dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Shariah Agrobank, Tuan Haji Azizi Che Seman, Ketua Jabatan Agrobank Centre of Excellence (ACE), Tuan Haji Rosli Jusoh, Ketua Jabatan Shariah, Ustaz Hishamuddin Abdul Hamid, Pengurus Besar Ko Nelayan Sabah, Tuan Haji Yusof Haji Ag dan Penolong Pengurus Besar Bahagian Perancangan & Pembangunan Strategik Ko-Nelayan, Tuan Salleh Haji Obong.