AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Catat Pertumbuhan Nilai Pembiayaan Tertinggi Sehingga 16.4% Untuk Tahun 2016



KUALA LUMPUR – Agrobank, bank yang dimandatkan untuk memperkasa komuniti pertanian, pada tahun ini telah merekodkan pertumbuhan yang membanggakan sebanyak 16.4% dengan nilai pembiayaan keseluruhan hampir mencecah RM8.7 billion, setakat November 2016. Prestasi memberangsangkan ini juga merupakan pencapaian terbaik Agrobank bagi lima tahun kebelakangan ini.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, kejayaan membanggakan Agrobank ini seiring dengan komitmen bank yang sentiasa proaktif dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang relevan dan bersesuaian dengan keperluan pelanggan terutamanya komuniti pertanian.

Dalam pada itu, tambah Dato’ Wan Mohd Fadzmi lagi, Agrobank sentiasa komited dalam menyokong iltizam kerajaan untuk mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap makanan import yang yang dilaporkan mencecah RM45.2 billion pada tahun lalu.

“Sebagai sebuah bank yang lebih memahami sektor pertanian, Agrobank menawarkan pembiayaan yang komprehensif yang meliputi aktiviti pertanian dari sektor huluan dan hiliran dan meliputi pelbagai jenis perniagaan berasaskan pertanian. Untuk tahun 2016, sektor pembiayaan pertanian premier, Agrobank mencatatkan nilai pembiayaan tertinggi iaitu RM5.14 billion dengan pertumbuhan sebanyak 15.3% berbanding pada tempoh yang sama tahun lalu iaitu sebanyak RM4.5 billion. Dibawah pembiayaan bagi sektor pertanian premier, segmen tanaman makanan menyumbang nilai pembiayaan tertinggi iaitu RM2.91 billion dengan pertumbuhan sebanyak 14% berbanding tahun lalu. Pertumbuhan ini membuktikan sektor pertanian dan agro makanan mempunyai potensi yang besar dengan permintaan yang berterusan walaupun dalam keadaan ekonomi kini,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Dalam menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran makanan, Agrobank juga menawarkan produk pembiayaan yang mempunyai kadar keuntungan yang rendah dan kompetitif, antaranya Skim Kredit Pengeluaran Makanan, ‘Fund For Food’ (3F), pembiayaan tanah pertanian Hartani-i, pembiayaan perdagangan (Trade Finance) dan pelbagai lagi.

Tambah Dato’ Wan Mohd Fadzmi lagi, prestasi cemerlang bank itu turut dipacu oleh pengukuhan ekonomi Malaysia yang kekal berdaya tahan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur tumbuh 4.4% pada 2016 dan 4.5% pada 2017.

“Walaupun situasi ekonomi dunia yang agak mencabar, Agrobank berpuas hati dengan pencapaian yang dicatatkan untuk tahun ini. Prospek pertanian dan industri asas tani pada tahun 2017 dijangka kekal memberansangkan. Ini kerana permintaan pasaran dalam dan luar negara terutamanya untuk sektor agro makanan dijangka akan terus meningkat. Fokus sekarang ialah untuk membangun dan memperkasakan keupayaan pengeluaran makanan negara dan memacu peningkatan eksport produk halal dan industri asas tani. Agrobank akan terus memberi sokongan kepada usaha kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan dan memgimbangi defisit makanan import,” ujar Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Selain itu, Dato’ Wan Mohd Fadzmi juga memaklumkan Agrobank akan terus memperkemaskan pengurusan risiko dan amalan terbaik pembiayaan sejajar dengan prinsip pembiayaan berhemah.

Agrobank telah melancarkan beberapa produk pembiayaan pada tahun 2016 antaranya Program Pembiayaan Agro Bakti yang ditawarkan khas untuk usahawan pertanian dan asas tani dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelancaran perlindungan Takaful Mabrur dengan manfaat upah haji.

Selain itu, tahun 2016 juga merupakan tahun yang bermakna bagi Agrobank yang telah menerima banyak penganugerah antarabangsa terutamanya dalam inisiatif pembangunan untuk golongan ‘unserved’ dan ‘underserved’. Antara anugerah yang diterima Agrobank dalam tahun 2016 ialah

  1. Anugerah daripada ADFIAP (Association of Development Financing Institutions in Asia Pacific) di terima di Samoa atas usaha cemerlang Agrobank dalam rangkuman kewangan (financial inclusion) terutamanya untuk komuniti pertanian dan juga komuniti kurang mendapat perkhidmatan (underserved).
  2. Anugerah Kelestarian Kewangan Karlsruhe 2016 (The Karlsruhe Sustainable Finance Awards) untuk ‘Pembiayaan Projek Lestari Cemerlang’ (Outstanding Sustainable Project Financing) bagi mengiktiraf kejayaan bank dalam Skim Kredit Padi. Upacara penyerahan anugerah telah berlangsung di Jerman.
  3. Anugerah Tadbir Urus Global atau Global Good Governance Award (3G) di bawah kategori ‘Anugerah Perkhidmatan Kewangan 3G’ di Istanbul, Turki. Penghargaan untuk usaha berterusan bank dalam meningkatkan rangkuman kewangan (financial inclusion)
  4. Pembiayaan tanah pertanian Agrobank, Hartani-i diiktiraf sebagai pilihan pengkritik sebagai produk pembiayaan Islam terbaik di Anugerah Perbankan Runcit Islam di Dubai

Selain itu, Dato’ Wan Mohd Fadzmi juga menerima anugerah ‘CEO Terbaik 2016’ di Majlis Anugerah Kewangan Islam Global. (Global Islamic Financial Awards) iaitu pengiktirafan di atas kepimpinan beliau dalam usaha transformasi Agrobank terutamanya dalam pengukuhan asas Bank dan juga peralihan bank sebagai institusi perbankan patuh syariah sepenuhnya dalam masa tiga tahun.