Agrobank Mengukuhkan Komitmen Kepada Sarawak: Pembukaan Semula Cawangan Spaoh Sebagai Penanda Aras Kepada Inisiatif Perbankan Inovatif Di Kawasan Luar Bandar
SARAWAK, 12 OGOS 2024 – Agrobank hari ini mengumumkan rancangannya untuk pembukaan semula cawangan di Spaoh, Sarawak sebagai sebahagian komitmen untuk meningkatkan servis perbankan di kawasan luar bandar. Inisiatif ini adalah komponen utama strategi Agrobank untuk meluaskan dan menaik taraf perkhidmatannya di seluruh negeri Sarawak, dalam masa yang sama mengukuhkan dedikasi kepada komuniti luar bandar dan sektor pertanian.
Pembukaan semula Agrobank cawangan Spaoh bertujuan untuk mengetengahkan keperluan perbankan bagi penduduk dan usahawan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan kewangan di kawasan tersebut. Penutupan cawangan Spaoh adalah satu keperluan untuk pengubah suaian pejabat daerah yang lama kepada Agensi Pembangunan Betong. Selaras dengan hal ini, Agrobank telah mengenal pasti kawasan baharu yang sesuai untuk memenuhi keperluan pembiayaan yang ditawarkan. Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah mengenal pasti lokasi yang sesuai dan sedang berusaha untuk membuka cawangan Spaoh di kawasan tersebut.
“Pembukaan semula cawangan Spaoh membuktikan komitmen Agrobank untuk berbakti kepada komuniti luar bandar di Sarawak,” kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin. “Kami percaya bahawa akses kepada servis perbankan memainkan peranan yang penting kepada pertumbuhan ekonomi dan keterangkuman kewangan di kawasan-kawasan ini.”
Sempena program “Road to MAHA 2024 @ Sarawak” yang diadakan baru-baru ini di Miri pada 8 hingga 11 Ogos 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengamanahkan Agrobank untuk menguruskan sebanyak RM6.23 juta peruntukan dana melalui pelbagai program. Dana peruntukan yang disalurkan kepada Agrobank akan diagihkan melalui pelbagai inisiatif termasuk Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM), Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA) dan Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA). Tanggungjawab yang digalas Agrobank ini membuktikan keyakinan pihak kerajaan terhadap kepakaran dan kebolehan Agrobank untuk menguruskan dan mengagihkan dana secara efektif serta menyokong sektor pertanian di Sarawak. Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan indsutri agromakanan negeri Sarawak dan menyokong usahawan tempatan dalam usaha mereka menceburi sektor pertanian.
Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah berkata, “Setakat Julai 2024, Agrobank telah meluluskan dana pembiayaan sebanyak RM95.4 juta di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak, yang memberi manfaat kepada 2,758 orang peserta. Skim ini dan rancangan pembukaan cawangan kami menunjukkan pendekatan yang holistik untuk menyokong pembangunan negeri Sarawak.”
Usaha-usaha ini dibina atas dasar komitmen berterusan Agrobank kepada Sarawak. Pada 10 Oktober 2023, Agrobank telah melancarkan inisiatif tanpa tunai di Daro, bertujuan untuk memudahkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan komuniti dan usahawan tempatan. Inisiatif ini bukan sahaja menyusun semula operasi perniagaan harian, tetapi juga menaik taraf rekod pengurusan akaun dan kewangan.
Selain itu, pada 6 Mei 2021, Agrobank telah menjadi salah satu bank yang menyediakan perkhidmatann mesin ATM di 9 daerah di Sarawak iaitu Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Lingga, Pantu, Tebedu, Asajay dan Sebuyau. Mesin ATM ini merupakan sebahagian komitmen berterusan Agrobank untuk menyokong komuniti yang kurang mendapat perhatian dan untuk mencapai keterangkuman kewangan selaras dengan inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dan Bank Negara Malaysia.
Selain inisiatif-inisiatif yang telah diperkenalkan serta pembukaan semula cawangan Spaoh, terdapat juga pelbagai projek-projek baharu untuk mengembangkan Agrobank di Sarawak. Agrobank meluaskan servis di negeri tersebut dengan pembukaan cawangan baharu di Tanjung Manis pada Mei 2023. Agrobank juga mempunyai rancangan untuk membuka cawangan di Gedong bagi meningkatkan akses kewangan kepada pelanggan di kawasan tersebut. Dengan memperkenalkan kepentingan perbankan digital, Agrobank sedang membangunkan sistem perbankan mudah alih dan penyelesaian digital sebagai pelengkap kepada cawangan fizikalnya. Semasa sesi lawatan baru-baru ini, Agrobank juga telah melancarkan inisiatif komuniti tanpa tunai di Pasar Tamu Lawas bagi mempromosikan literasi kewangan digital di kawasan luar bandar.
Inisiatif-inisiatif ini selaras dengan visi Bank Negara Malaysia dalam mencapai keterangkuman kewangan untuk memastikan komuniti yang kurang mendapat perhatian mendapat akses kepada servis kewangan yang berkualiti dan mampu milik. Selain itu, usaha[1]usaha ini dirangka untuk menyokong kerajaan Negeri Sarawak untuk menyediakan servis kewangan yang menyeluruh kepada rakyatnya, terutama di kawasan luar bandar dan sektor pertanian. Kerjasama melalui inisiatif dengan pihak kerajaan negeri, Agrobank mempunyai matlamat untuk meningkatkan ekonomi dan keterangkuman kewangan di Sarawak dalam masa yang sama memupuk kesejahteraan dalam kalangan komuniti yang pelbagai di negeri tersebut.