AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dianugerahkan Sebagai ‘Outstanding CEO Of The Year’ Oleh ADFIAP



Macau, China – Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman hari ini telah menerima Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Cemerlang (Outstanding CEO of the Year) daripada Anugerah Kesatuan Institusi Pembangunan Kewangan Asia Pasifik atau Associate of Developmental Financial Institution Asia and the Pasific (ADFIAP). Majlis anugerah di anjurkan bersempena mesyuarat tahunan ADFIAP dan sambutan ulangtahun ke-40 ADFIAP.

Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif memberi pengiktrafan kepada pemimpin yang mempunyai sifat kepimpinan dan visi yang tinggi serta pencapaian yang telah merubah organisasi yang diterajui. Tanpa mengira saiz organisasi, pemilihan dilakukan berdasarkan kedudukan pemimpin dan impak positif yang telah dibawa sepanjang menjadi pemimpin serta impak yang telah dilakukan orgnanisasi dalam pembangunan institusi perbankan dan juga pembangunan negara.

Menurut jawatankuasa panel pemilihan, mereka sangat kagum dengan daya kepimpinan yang ditunjukkan Dato’ Wan Mohd Fadzmi dalam membangunkan pelan tindakan transformasi untuk Agrobank bagi memperkukuhkan peranannya dan keberkesanan sebagai sebuah institusi pembangunan kewangan (DFI) yang memberi tumpuan khusus kepada industri pertanian.
Sejak menerajui Agrobank pada tahun 2011, Dato’ Wan Mohd Fadzmi merupakan tunjang kepada transformasi Agrobank terutamanya dalam mengukuhkan asas dan fokus bank kepada aktiviti perniagaan teras dan mandat untuk menguatkan dan membina sektor pertanian.

Dibawah kepimpinan beliau, Dato’ Wan Mohd Fadzmi telah memulakan tranformasi yang memberi fokus kepada pembangunan asas serta tadbir urus bank yang lebih kukuh menerusi enam (6) perancangan strategik iaitu pertumbuhan baru, kemajuan teknologi, pengukuhan kerjasama strategik, memperkasa modal insan, memberi tumpuan kepada mikro & Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta menggalakkan rangkuman kewangan.

Ketika transformasi Agrobank pada tahun 2012-2015, beliau turut menetapkan sasaran yang tinggi untuk Agrobank menjadi sebuhan intitusi perbankan Islam sepenuhnya dalam masa tiga (3) tahun (2015) yang dianggap sebagai agresif oleh pihak industri.

Hasil daripada transformasi berkenaan, Agrobank telah merekodkan pencapaian terbaik yakni antara lain – menyusun semula proses dan prosedur untuk kecekepan yang lebih baik, mengurangkan nilai Pembiayaan Tidak Berbayar (NPL) kepada satu digit serta membangunkan lebih banyak produk pembiayaan yang berinovatif serta relevan untuk komuniti pertanian.
Tahun lalu, Agrobank merekodkan pertumbuhan memberangsangkan iaitu 16.8% dengan nilai pembiayaan keseluruhan mencecah RM8.7 billion untuk tahun 2016. Prestasi membanggakan ini juga merupakan pencapaian terbaik Agrobank sejak sekian lama.

Mengulas mengenai anugerah yang diterima, Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, beliau sangat berbesar hati dengan anugerah ini.
“Pengiktirafan ini merupakan satu penghargaan kepada Agrobank dan juga semua warga kerjanya yang telah bekerja keras dalam melaksanakan transformasi bank. Pencapaian ini merupakan bukti hasil usaha dan dedikasi serta semangat kerja berpasukan yang jitu oleh kakitangan bank,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

“Saya percaya bahawa intipati asas untuk transformasi sebuah DFI seperti Agrobank ini bermula dari hati dan empati . Hal ini penting bagi pasukan Agrobank untuk menjadi lebih efektif dan relevan dalam menyediakan perkhidmatan dan produk yang diperlukan terutamanya dalam menyokong agenda nasional untuk pertumbuhan dan pembangunan.

Sebagai sebuah Institusi Pembangunan Kewangan, Agrobank berusaha untuk mengimbangi peranan pembangunan dan komersialnya terutamanya dalam menyokong aktiviti perniagaan berasaskan pertanian. Kami sentiasa percaya bahawa rangkuman kewangan adalah ejen yang efektif untuk pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan memberi kuasa kepada individu dan masyarakat untuk memperbaiki kehidupan mereka.

Kebelakangan ini, Agrobank telah memberi fokus dalam membangunkan produk yang berinovasi untuk kumpulan sasaran tertentu seperti Paddy-i, yang merupakan produk pembiayaan diperkenalkan khas untuk memenuhi keperluan pesawah tani yang berpendapatan mengikut musim. Selain itu, Agrobank turut memperkenalkan pembiayaan khas untuk Orang Kurang Upaya (OKU) yang dikenali sebagai Agro Bakti,” jelas Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Dato’ Wan Mohd Fadzmi merupakan professional yang berpengalaman lebih dari 20 tahun dalam industry perbankan. Beliau pernah berkhidmat di Bandar kewangan utama dunia seperti London, New York dan Hong Kong.

Tahun lalu, Dato’ Wan Mohd Fadzmi telah dianugerahkan sebagai ‘Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik’ untuk tahun 2016 oleh Global Islamic Financial Award sebagai mengiktiraf kejayaan beliau dalam memimpin Agrobank dalam proses peralihan bank kepada institusi perbankan Islam moden sepenuhnya dalam jangka masa tiga (3) tahun.