AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Kerjasama Strategik Agrobank – PETRONAS untuk Memperkasakan Kumpulan B40



KUALA LUMPUR – Agrobank dan PETRONAS baru-baru ini telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk program pembiayaan mikro bagi memperkasakan kumpulan B40 dalam industri pertanian dan asas tani. Di bawah kerjasama ini, PETRONAS akan menyediakan pelaburan bernilai RM100 juta untuk menyokong program pembiayaan mikro semasa dan baharu di bawah kendalian Agrobank di seluruh negara dengan tumpuan utama kepada kumpulan B40.

Datuk Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani memuji Agrobank dan PETRONAS atas komitmen dan kesungguhan mereka untuk membuka lebih banyak peluang kepada kumpulan B40 bagi meningkatkan status sosio ekonomi mereka. “Kerjasama seperti ini (Agrobank dan PETRONAS) adalah contoh yang baik bagaimana syarikat korporat yang prihatin dapat menyokong agenda nasional dan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

“Kerjasama ini juga selari dengan hala tuju baharu yang telah dilancarkan oleh MOA pada tahun lepas di bawah ‘Prioriti dan Strategi Kementerian Pertanian dan Indusri Asas Tani 2019-2020’ yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan jaminan makanan, pembangunan ekonomi luar bandar dan pelaburan swasta dalam sektor pertanian. Dalam hala tuju tersebut – penyertaan dan pelaburan dari entiti swasta adalah penting untuk memodenkan sektor pertanian dan sekaligus menggalakkan penyertaan belia,” kata Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Datuk Seri Salahuddin Ayub juga menekankan bahawa pertanian adalah tuas penting untuk menjangkau secara berkesan dalam mengukuhkan kumpulan B40. “Pada masa ini 39.3% daripada kumpulan B40 luar bandar terlibat dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan. PETRONAS memahami perlunya usaha untuk memperkasakan kumpulan B40 dan mereka memilih untuk bekerjasama secara strategik dengan Agrobank, sebuah bank yang mempunyai pengetahuan dan berpengalaman dalam pembiayaan berasaskan pertanian,” kata beliau lagi.

Penanggung tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif bagi Agrobank (P/CEO), Khadijah Iskandar berkata pelaburan pembiayaan RM100 juta yang diperuntukkan oleh PETRONAS akan dikeluarkan dalam tempoh lima tahun dan dikendalikan melalui program pembiayaan mikro B40 Agrobank. Pada masa ini, Agrobank mempunyai lebih daripada 11 program pembiayaan mikro di seluruh negara yang meliputi penanaman padi, penanaman cili, kelapa sawit, lembu tenusu, nanas, burung walit dan banyak lagi.

“Sebagai sebuah bank yang lebih memahami pertanian dengan lebih baik, Agrobank komited untuk memperkasakan kumpulan B40 melalui program pembiayaan mikro berstruktur yang berasaskan 3A – Aksesibiliti (Accessibility), Ketersediaan (Availability) dan Berpatutan (Affordability). Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan PETRONAS bagi program-program sebegini dan berharap lebih ramai syarikat korporat yang prihatin untuk menyediakan pelaburan yang sama bagi memperkasakan kumpulan B40,” kata Khadijah.

Di bawah program ini, pembiayaan akan diberikan sehingga 100 peratus daripada keseluruhan kos operasi pada kadar keuntungan keutamaan iaitu 2.0 peratus setahun.

Selain itu, peserta mestilah berusia sekurang-kurangnya 18 tahun dan didaftarkan di bawah program pembiayaan kontrak yang telah diluluskan oleh Agrobank melalui pengurus projek (anchor company). Dengan adanya sokongan syarikat ‘anchor’ ini akan membantu para peserta mendapat bimbingan dan sokongan teknikal bagi membantu mereka (memulakan) bisnis agro dengan lebih baik.

“Melalui program ini, agropreneur boleh memohon sejumlah pembiayaan sehingga RM300,000 dengan kemudahan pembiayaan sehingga lima (5) tahun atau 60 bulan,” jelas Khadijah.

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh menghantar e-mel kepada AgroB40@agrobank.com.my

Atau hubungi 03-27311600 sambungan 2688/2810.

Pegawai Bertanggungjawab:

  1. Encik Sirajul Yusran Hasan
  2. Puan Nurhazlin Jalaluddin
  3. Puan Cut Farida Abdul Aziz

 

MAKLUMAT PEMBIAYAAN

  • Terbuka kepada semua usahawan agro B40 dengan pendapatan isi rumah dikelaskan sebagai ‘Bottom 40’ (B40)
  • Terbuka kepada usahawan agro yang mengusahakan projek pertanian atau ternakan atau penghasilan makanan menerusi konsep ‘kontrak ladang’
  • ‘Pertanian kontrak’ mestilah di bawah usahasama dengan syarikat swasta / agensi kerajaan yang bertindak sebagai Pengurus Projek (Anchor Company) yang telah diluluskan oleh Agrobank
  • Usahawan agro boleh memohon sejumlah pembiayaan sehingga RM300,000 untuk setiap permohonan
  • Kemudahan pembiayaan sehingga lima (5) tahun atau 60 bulan
  • Kadar keuntungan paling rendah sebanyak 2% setiap tahun
  • Pembiayaan bagi tujuan keperluan modal dan operasi seperti pajakan tanah, penyelenggaraan, kos pengurusan dan lain-lain