AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Perkasa Wanita Dengan Kempen Agronita Sempena Hari Wanita Sedunia 2024



PUTRAJAYA, 8 MAC 2024 – Bagi meraikan pencapaian dan pemerkasaan golongan wanita, Agrobank hari ini melancarkan Kempen AgroNita bersempena dengan majlis sambutan Hari Wanita 2024 Agrobank di Palm Garden Hotel, Putrajaya. Kempen ini berlangsung dari 8 Mac 2024 dan terhad kepada penyertaan 500 pelanggan wanita yang terawal.

Agrobank menawarkan manfaat langganan Perlindungan Takaful Kemalangan Diri melalui Takaful Kasih Plus selama setahun sehingga RM10, 000 kepada 500 peserta wanita terawal. Untuk menyertai kempen ini, peserta yang layak hanya perlu membuat deposit minimum sebanyak RM500 melalui Akaun Simpanan AGRO Farah-i, atau melanggan pembiayaan kredit mikro dengan pembiayaan minimum sebanyak RM5,000.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata Kempen Agronita 2024 ini merupakan manifestasi terhadap komitmen dan usaha beterusan Agrobank dalam mendukung agenda pembangunan ekonomi dan sosial, selain meraikan pencapaian golongan wanita di Malaysia.

“Agrobank sentiasa menghargai peranan dan sumbangan kaum wanita dalam memperkasakan institusi kekeluargaan, kemasyarakatan dan kemajuan ekonomi negara. Inisiatif ini ditujukan khusus buat pelanggan wanita di Malaysia dengan peruntukan sehingga RM20 juta disediakan bagi kempen ini. Ia selaras dengan aspirasi kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai kaum hawa untuk menceburi bidang keusahawanan mikro atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), di samping menyemai tabiat menyimpan dan pengurusan kewangan yang mampan.”

“Kami mengalu-alukan penyertaan anda agar dapat menikmati manfaat daripada Pelan Perlindungan Takaful Kasih Plus sebagai jaringan keselamatan kewangan untuk menghadapi waktu sukar, di samping memastikan pelanggan wanita dilindungi sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku,” katanya lagi.

Majlis ini turut diserikan dengan sesi diskusi bertajuk “Mendepani Cabaran Bersama Usahawan Wanita” yang menampilkan barisan usahawanita dan personaliti terkemuka dalam bidang fesyen seperti Vivy Sofinas Yusof, pengasas bersama FashionValet Group yang terkenal dengan jenama local dUCK, LILIT dan Kafe dUCK serta Nik Suzila Hassan, pengasas bersama Kloth Circularity. Sesi ini turut menampilkan perkongsian kisah kejayaan usahawan-usahawan Agrobank bagi menarik minat dan mendorong kaum wanita untuk menceburi bidang perniagaan.

Untuk maklumat lanjut tentang Kempen AgroNita 2024 dan Takaful Kasih Plus, sila layari laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau berkunjung ke cawangan Agrobank yang berdekatan.