Agrobank Kongsi Rezeki Dengan Tajaan Korban Di Seluruh Negara Bersempena Aidiladha
KUALA LUMPUR, 21 JUN 2024 – Agrobank menyantuni komuniti Islam di seluruh negara dengan menaja ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha. Program ini melibatkan peruntukan hampir RM75,000 dengan hasil korban diagihkan kepada komuniti tempatan menerusi cawangan-cawangan Agrobank di setiap wilayah.
Menurut Presiden/Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Program Korban Perdana 2024 tahun ini membawa sedikit kelainan berbanding tahun – tahun sebelumnya, terutamanya di Agrobank cawangan Tanjung Karang yang mana pihak pengurusan Agrobank sendiri telah bersepakat dengan menyumbang hasil kutipan serta turun padang untuk turut serta dalam acara korban yang melibatkan penyembelihan dua ekor lembu.”
“Sebagai salah-satu aktiviti tahunan Agrobank, kami mahu memberikan lebih makna disebalik sambutan Aidiladha dengan berkongsi rezeki serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya memelihara kebajikan golongan minoriti dan pendalaman.
Program Korban Perdana 2024 ini turut merupakan manifestasi terhadap tanggungjawab sosial korporat kami. Agrobank sentiasa prihatin dan peka terhadap keperluan dan kebajikan masyarakat, dan kami komited dalam menyumbang kepada pembangunan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat,” tambahnya lagi.
Program Korban Perdana 2024 di Tanjung Karang, Selangor turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Encik Zahid Ahmad Zawawi. Persiapan untuk aktiviti penyembelihan bermula seawal jam 8:00 pagi disusuli dengan dengan aktiviti melapah dan pengagihan daging korban kepada komuniti setempat.