AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Anjur Festival Durian – Sokong Peluang Sumber Kekayaan Baru Negara



KUALA LUMPUR – Agrobank hari ini buat julung kalinya menganjurkan Festival Durian Agrobank iaitu satu inisiatif Bank yang dijalankan bagi membuka ruang dan mempromosikan sumber kekayaan baru negara berasaskan durian sekaligus memperluaskan jaringan serta rantaian hubungan perniagaan kepada agropreneur menerusi industri durian. 

Festival ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian & Industri Asas Tani (MOA) sambil disaksikan oleh YB Tuan Sim Sze Tzin, Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, YBhg Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, YBhg Dato’ Dr. Ammar Abd Ghapar, Pengarah Kanan, Bahagian Domestik Dan Acara, Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank serta pengunjung yang hadir ke festival ini. 

Selain menyambut ulang tahun ke-50 Agrobank, program ini dirangka untuk berkongsi dengan agropreneur serta pengunjung yang hadir mengenai peluang dan prospek yang ditawarkan menerusi industri durian tempatan.  Program ini memberi ruang buat para pelanggan yang hadir untuk berinteraksi dan berhubung terus dengan pegawai Agrobank bagi mendapatkan penerangan dan maklumat tentang solusi perkhidmatan kewangan untuk bisnes durian.  Fokus info menjurus kepada pembiayaan Perbadanan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) sempena pengisytiharan bulan September sebagai Bulan Pembiayaan PKS baru-baru ini.

Menurut Khadijah Iskandar, Festival Durian Agrobank ini dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan khususnya MOA untuk menggalakkan lebih ramai agropreneur menceburkan diri di dalam industri durian negara tambahan pula, durian adalah antara satu sumber kekayaan baru yang boleh diterokai agropreneur.

“Berkonsepkan ‘Durian Sebagai Perniagaan’, festival pada hari ini bukan sahaja untuk menikmati kelazatan raja buah ini, malah untuk mengenengahkan agropreneur durian untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.  Untuk makluman, ramai agropreneur berasaskan durian telah kami bantu dengan jumlah keseluruhan pembiayaan mencecah RM90 juta khusus untuk industri durian ini sahaja,” ujar Khadijah.

“Agrobank berharap agar agropreneur dapat mengambil peluang yang ditawarkan untuk meluaskan empayar perniagaan kerana ia mampu membuka ruang kepada agropreneur untuk membantu menggerakkan perniagaan berasaskan durian ke peringkat antarabangsa,” tambah Khadijah lagi.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sempena Festival Durian Agrobank seperti jualan durian murah, demo masakan, persembahan nyanyian oleh Datuk Ramli Sarip, permainan, ruang pameran dan banyak lagi.