AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Fokus Prospek dan Peluang Bisnes Agro – Agrobank Anjur Agenda Agro Sarawak



KUCHING, SARAWAK – Agrobank hari ini meneruskan penganjuran siri bicara bisnes iaitu “Agenda Agro: Prospek dan Peluang dalam Sektor Pertanian” yang diadakan di Kuching, Sarawak. Program ini telah dihadiri lebih 160 orang tetamu yang terdiri daripada pelanggan Agrobank dan usahawan di sekitar Sarawak.

Inisiatif program Agenda Agro ini dilaksanakan adalah untuk berkongsi dengan pelanggan Agrobank dan usahawan mengenai peluang dan maklumat terkini yang ada dalam sektor pertanian dan industri asas tani.  Program ini memberi ruang buat para pelanggan yang hadir untuk berinteraksi dan berhubung terus dengan pegawai Agrobank bagi mendapatkan penerangan dan maklumat tentang sektor pertanian dan industri asas tani. 

Menurut Khadijah Iskandar, penanggung tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Agrobank sentiasa berusaha untuk membantu para usahawan melalui inisiatif seumpama ini.  Selain pembiayaan komprehensif yang ditawarkan, program perkongsian bisnes seperti ini dapat membantu para pelanggan untuk merangka perancangan strategik terutamanya dalam mengembangkan empayar perniagaan mereka.

“Sarawak merupakan sebuah negeri yang berpotensi besar dalam industri pertanian. Potensi ini dapat dilihat pada prestasi memberangsangkan negeri ini di mana setakat Jun 2019 jumlah pembiayaan Agrobank di negeri Sarawak adalah sebanyak RM1,202.38 juta, iaitu peningkatan tahun ke tahun sebanyak 9.41%, di mana ianya adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan yang dicatatkan pada tahun 2018 untuk tempoh masa yang sama,” kata Khadijah.

Tambah beliau lagi, “Agenda Agro yang memfokuskan tentang topik berkaitan prospek dan peluang dalam sektor pertanian ini dirangka bagi berkongsi tentang perkembangan sektor pertanian negara. Program ini dianjurkan bagi memberi  nilai tambah kepada pelanggan untuk mengetahui maklumat terkini termasuklah perkara berkaitan polisi Kerajaan dalam membantu komuniti pertanian meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi usahawan tani.  Menerusi inisiatif ini, pihak kami berharap agar pembangunan usahawan terus dapat dipertingkatkan.”  

Pada majlis yang sama, PROKHAS juga turut menyampaikan pembentangan berkaitan dengan Skim Jaminan Modal Kerja (SJMK) di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP). SJMK dilaksanakan untuk membantu syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelbagai sektor untuk mendapat akses kepada pembiayaan daripada institusi-institusi kewangan yang terlibat (termasuk Agrobank).

Di majlis itu juga, turut diadakan beberapa penyampaian dan kerjasama lain iaitu:

  • Penyerahan surat tawaran pembiayaan kepada pelanggan Agrobank di Sarawak bagi bulan April hingga Jun 2019. Seramai sepuluh (10) orang penerima menerima surat tawaran pembiayaan Agrobank dengan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM8,135,000.
  • Penyampaian sijil pelantikan kepada empat (4) AGROAgent baharu dan tiga (3) AGROAgent terbaik di negeri Sarawak.
  • Penyerahan penajaan Takaful Agro Nurani oleh lima (5) syarikat korporat kepada tujuh (7) buah sekolah dengan jumlah tajaan sebanyak RM11,550 dan jumlah manfaat perlindungan bernilai RM3,213,000.

Sarawak merupakan lokasi kedua Agenda Agro bagi tahun ini selepas Terengganu. Selepas ini Agenda Agro akan diadakan di Melaka pada bulan Oktober 2019.