AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Meterai Perjanjian Bersama MYDIN Kelantan – Tawar Pembiayaan Kepada Pemborong MYDIN Sehingga RM500,000



KOTA BHARU, KELANTAN, 21 NOVEMBER 2022 – Agrobank sebagai sebuah institusi perbankan kewangan (IKP) dengan fokus membangunkan sektor pertanian dan agromakanan negara telah menandatangani satu perjanjian kerjasama strategik bersama Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) Kelantan, bagi membantu mengembangkan perniagaan pemborong MYDIN Kelantan dengan menawarkan kemudahan pembiayaan modal kerja sebanyak RM50,000 sehingga RM500,000.

Perjanjian ini telah ditandatangani oleh Tengku Dato’ Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN pada 18 November 2022.

Menurut Tengku Dato’ Ahmad Badli Shah, menerusi kerjasama strategik ini, pembiayaan yang diluluskan akan diberikan secara pusingan dengan jumlah minimum sebanyak RM50,000 kepada pemborong MYDIN untuk tempoh pembiayaan sehingga satu (1) tahun dengan kadar keuntungan yang kompetitif.

“Kerjasama di antara dua entiti yang termeterai ini adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan pusingan jangka pendek patuh syariah dan perkhidmatan perbankan kepada pembekal di MYDIN Kelantan yang menjalankan aktiviti di sepanjang rantaian nilai agromakanan sekali gus membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi dan perkembangan sektor pertanian serta agromakanan di negeri Kelantan,” kata Tengku Dato’ Ahmad Badli Shah.

“Usaha strategik ini merupakan platform bagi memacu kejayaan agropreneur serta merealisasikan matlamat Agrobank untuk pembangunan pertanian yang kukuh, progresif dan efisien demi kesejahteraan komuniti pertanian, kestabilan ekonomi serta keutuhan sekuriti makanan negara dalam jangka masa panjang,” tambah beliau.

“Ini sejajar dengan tanggungjawab ‘melangkaui perbankan (beyond banking)’ Agrobank untuk menawarkan produk dan perkhidmatan berorientasikan pelanggan yang bertujuan untuk membantu usahawan ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan. Justeru, kami mengalu-alukan para pemborong MYDIN Kelantan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan modal kerja yang ditawarkan,” tambah Tengku Dato’ Ahmad Badli Shah lagi.