Agrobank Menyantuni 200 Asnaf Dengan Kad Takaful Kemalangan Bernilai RM10 Juta
KUALA LUMPUR, 8 MEI 2024 – Agrobank hari ini menyampaikan replika kad Takaful Kemalangan Pelanggan, Takaful Kasih Plus 3 yang bernilai RM10 juta kepada 200 orang asnaf miskin yang bertempat di Hotel Impianan, Senai, Johor. Sumbangan Takaful Kemalangan Pelanggan ini merupakan tajaan dari Tetuan Ikbal Salam & Associates kepada enam wakil penerima bagi pihak asnaf.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, “Pelan Takaful Kemalangan Pelanggan ini memberi manfaat kepada penerima jika berlaku kecemasan atau musibah kematian. Ia juga membantu si pewaris untuk mengurangkan kos kewangan yang perlu ditanggung.”
“Selain itu, perkhidmatan kewangan mampu milik ini dapat membantu semua lapisan masyarakat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah untuk mendapat perlindungan takaful dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan,” tambah beliau.
“Kami berharap lebih banyak pelanggan komersial dan syarikat korporat yang sering berurusan dengan Agrobank dapat berkongsi rezeki dengan menaja pihak yang memerlukan melalui produk-produk Agrobank,” ujar Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah.
Majlis penyerahan kad replika Takaful Kemalangan Pelanggan telah disempurnakan oleh wakil kepada Datuk Ikbal Salam dan disaksikan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin serta Pengarah Wilayah Melaka/ Johor Encik Md Yasin Bin A Hamid.
Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus menawarkan manfaat kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal, perbelanjaan pengebumian, perbelanjaan perubatan, dan elaun hospital.
Untuk maklumat lanjut tentang produk Takaful Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus, sila layari laman sesawang www.agrobank.com.my, berkunjung ke cawangan Agrobank yang berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan Agrobank di talian 1-300-88-2476.