Agrobank Lancar Bulan Kelestarian Pupuk Kakitangan Perkasa Alam Sekitar
ISNIN, 14 OKTOBER 2024 – Agrobank komited memperkasa kelestarian alam sekitar melalui Pelancaran Bulan Kelestarian yang merupakan satu inisiatif untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran budaya kelestarian dalam kalangan warga kerja Agrobank.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Sepanjang bulan kelestarian ini, kami akan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik untuk meningkatkan kesedaran dan memperhebatkan budaya kelestarian dalam kalangan warga kerja Agrobank. Salah satunya adalah aktiviti kitar semula di mana ianya merupakan satu budaya yang penting untuk mendidik dan mendisiplinkan kita dalam pengurusan sisa yang baik dan penjimatan sumber yang efisien. Selain itu, kami turut menyediakan reruai yang menyediakan pelbagai maklumat tentang kelestarian, sesi perkongsian pengetahuan, aktiviti pertanian bandar dan bengkel interaktif berkaitan kelestarian alam sekitar.”
“Usaha melestarikan alam sekitar bukan hanya tanggungjawab satu pihak, tetapi melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk orang awam. Oleh itu, inisiatif-inisiatif yang dianjurkan bertujuan mendidik warga kerja Agrobank untuk membudayakan amalan mesra alam dalam kehidupan seharian mereka, sama ada di rumah atau di pejabat. Melalui penglibatan aktif dan usaha kendiri yang berterusan untuk menerapkan gaya hidup lestari, mereka bukan sahaja dapat memastikan kualiti kehidupan yang mampan tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan bumi secara keseluruhan.”
Untuk menjayakan Bulan Kelestarian ini, Agrobank turut berkolaborasi dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang komited dengan usaha mereka untuk memelihara dan memulihara alam sekitar. Antaranya adalah Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES), Kloth Malaysia Sdn Bhd dan Hara Maker Initiative. Melalui kolaborasi ini, pelbagai gabungan pengetahuan, kepakaran sumber mampu dihasilkan di mana Agrobank dapat menggunapakai strategi pengurangan sisa yang inovatif dan sesuai ke dalam operasi hariannya.
Melalui pelancaran Bulan Kelestarian ini, ia menjadi simbolik kepada komitmen Agrobank dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang melangkaui aktiviti korporat dan terangkum dalam budaya kehidupan seharian warga kerja kami.