AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Optimis Dana Agromakanan Keluarga Malaysia, Antara Solusi Jaminan Keselamatan Negara



KUALA LUMPUR – Agrobank menyambut baik mandat Kerajaan untuk menyokong sektor pertanian dan industri makanan negara bagi memperkasa sektor pengeluaran makanan menerusi Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM) yang diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Rabu.

Mesyuarat Kabinet pada 22 Jun 2022 telah bersetuju dengan pelaksanaan program DPAKM di bawah Agrobank yang telah memperuntukkan sebanyak RM800 juta pembiayaan bagi menjamin kesinambungan aktiviti pengeluaran makanan negara yang melibatkan lapan (8) komoditi makanan utama iaitu daging ayam, daging lembu/kerbau, telur, susu segar, ikan, buah, sayur dan beras.

Program DPAKM menawarkan kemudahan pembiayaan yang khusus mengikut agihan pembiayaan di mana RM300 juta diperuntukkan bagi ternakan ayam, RM200 juta bagi ternakan ruminan (lembu dan kambing), RM100 juta untuk tanaman sayur-sayuran. DPAKM turut menawarkan pembiayaan untuk golongan usahawan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi usahawan mikro, manakala usahawan mikro baharu dan usahawan muda masing-masing menerima agihan pembiayaan sebanyak RM50 juta.

Mengulas mengenai pengumuman itu, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, program DPAKM adalah kemudahan pembiayaan yang ditawarkan kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta bagi pengusaha ternakan ayam, ruminan dan sayuran.

 “Program ini menawarkan tempoh pembiayaan yang kompetitif sehingga 8.5 tahun pada kadar keuntungan serendah 3%. Pada enam (6) bulan pertama, Agrobank akan memberikan moratorium secara automatik pada kadar keuntungan 0%. Pelanggan akan mula dikenakan kadar keuntungan serendah 3% hanya pada bulan ke-7 pembiayaan dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, Agrobank yakin peruntukan dana menerusi program DPAKM yang diagihkan mengikut keperluan industri makanan utama mampu memenuhi keperluan semasa dan secara beransur-ansur memperkukuhkan kedudukan sekuriti makanan negara.

“Agrobank berbesar hati kerana terus diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk menerajui sektor pertanian negara menerusi produk pembiayaan dan solusi kewangan kami yang patuh syariah dan memenuhi keperluan komuniti pertanian termasuk yang menjalankan aktiviti perhuluan dan sehinggalah aktiviti penghiliran. Usaha berterusan Agrobank menerusi program-program pembiayaan rantaian penuh adalah sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara yang bertujuan untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan,” katanya.

Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank sangat optimis dalam menyokong Dasar Agromakanan Negara. “Kami bergerak seiring mandat dan perancangan Kerajaan serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) khususnya, bagi membangunkan beberapa pelan strategik sebagai solusi kepada isu krisis jaminan bekalan makanan negara.”

Bercakap mengenai perancangan Agrobank dalam mendepani isu tersebut beliau berkata, Agrobank pada 2021 telah melancarkan Pelan Perniagaan Strategik (SBP) 2021-2025 yang turut merangkumi pembangunan strategik jangka pendek dan jangka panjang MAFI bagi sektor agromakanan seperti yang ditetapkan oleh Dasar Agromakanan Negara yang terkini.

“Usaha jangka pendek kami bertumpu untuk menyokong agenda sekuriti makanan negara dengan secara terus menyediakan sokongan pembiayaan dalam subsektor pertanian strategik seperti sektor penternakan, perusahaan ayam dan juga sayur-sayuran, Manakala dalam usaha jangka masa panjang Agrobank akan kekal komited dalam meningkatkan tahap literasi kewangan bagi golongan terpinggir dan kurang mendapat liputan (unserved and underserved) menerusi pemantauan percuma termasuk program-program mengenai ilmu perniagaan dan pengurusan kewangan,” tambahnya.

Beliau berkata, Agrobank telah sentiasa dan akan terus menyokong objektif strategik yang telah digubal dibawah dasar-dasar pembangunan pertanian negara, yang memacu hala tuju strategik pembangunan agromakanan dan komoditi pertanian, disamping menyediakan perkhidmatan ‘Melangkaui Perbankan’ (beyond banking) kepada pelanggan dalam sektor pertanian.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program DPAKM, sila layari laman web Agrobank di www.agrobank.com.my  atau hubungi pusat perkhidmatan pelanggan kami di 1300 88 2476 atau terus berkunjung ke cawangan terdekat Agrobank.