AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Dan Universiti SEGi Meterai Perjanjian Persefahaman Untuk Beri Peluang Kepada Golongan Pelajar B40 Lanjutkan Pengajian



KUALA LUMPUR – Agrobank dan Universiti SEGi hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dalam satu usahasama bagi memberikan peluang kepada pelajar kategori B40 untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Melalui MoU ini, SEGi dan Agrobank akan menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (kepujian) Sumber Manusia, Pengurusan Perniagaan (kepujian) Pemasaran, Pengurusan Perniagaan, Perakaunan dan Kewangan serta Infomasi Teknologi.

Perjanjian persefahaman tersebut telah ditandatangani oleh Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Profesor Dr. Patrick Kee Peng Kong, Naib Canselor Universiti SEGi. Majlis menandatangi perjanjian tersebut telah disaksikan oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank serta 200 orang tetamu yang lain. Program ini telah berlangsung di Universiti SEGi di Kota Damansara di mana Universiti SEGi juga telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama rakan korporat lain.

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, “Agrobank percaya bahawa pendidikan amat penting di mana ianya dilihat sebagai salah satu landasan bagi meningkatkan peluang dan pertumbuhan seseorang. Kami berbesar hati bekerjasama dengan Universiti SEGi untuk menyalurkan bantuan kepada pelajar-pelajar cemerlang yang layak tetapi tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian di universiti awam kerana persaingan serta kuota yang terhad.

Dengan kolaborasi ini, pelajar akan diberi peluang untuk melanjutkan pengajian sarjana muda di Universiti SEGi. Selain daripada itu, pelajar yang layak juga akan menjalankan program latihan praktikal di Agrobank serta akan didedahkan dengan bidang Perbankan dan Kewangan Islam,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi.
Bantuan kewangan daripada Agrobank ini merupakan pemberian zakat bernilai RM8,000 bagi setiap pelajar berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh Bank. Di dalam usahasama ini, Universiti SEGi turut menyediakan biasiswa dalam bentuk yuran pengajian kepada setiap pelajar.

Seramai 50 pelajar yang layak dijangka akan menerima manfaat daripada program ini.