AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Nobat Tujuh (7) Penerima Anugerah Agropreneur



KUALA LUMPUR – Tujuh (7) usahawan telah dinobatkan sebagai penerima anugerah sempena Anugerah Agropreneur Agrobank 2016 yang pertama kali diadakan bertempat di Sheraton Imperial Hotel hari ini. YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyampaikan anugerah disaksikan oleh lebih daripada 220 orang tetamu. Majlis tersebut diadakan sempena dengan ulang tahun yang ke 47 Agrobank.

Anugerah tersebut diadakan bertujuan untuk mengiktiraf pelanggan cemerlang Agrobank daripada pelbagai kategori yang dipertandingkan. Menurut Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, antara objektif anugerah ini adalah untuk mengiktiraf *agropreneur berjaya yang dilihat mampu menjadi ikon atau model bagi usahawan lain dalam industri ini serta menggalakkan lebih ramai usahawan lahir bagi membina perniagaan berasaskan pertanian. “Agrobank sememangnya berbangga dengan pencapaian agropreneur ini yang telah bekerja keras demi meningkatkan perniagaan/projek mereka daripada tahap sara hidup ke tahap komersial dan eksport.

Pertanian adalah antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi terpenting di Malaysia. Sejak penubuhannya pada tahun 1969, Agrobank telah menyokong impian agropreneur bagi membina empayar perniagaan mereka sekaligus menyediakan beribu-ribu peluang pekerjaan kepada orang ramai. Ramai agropreneur telah memperolehi manfaat daripada pembiayaan, produk dan perkhidmatan daripada Agrobank,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi.

Dalam ucapannya, Tan Sri Mohamad Zabidi juga turut menekankan bahawa peluang dan potensi pertanian adalah baik. “Bagi separuh pertama tahun 2016, Agrobank telah mencatatkan nilai pembiayaan yang sangat membanggakan iaitu RM8.06 bilion. 60.79% (4.90 bilion) daripada jumlah keseluruhan adalah pembiayaan bagi sektor pertanian primer yakni 60.61% (RM2.97 bilion) merupakan pembiayaan bagi segmen agro-makanan. Pertumbuhan pembiayaan bagi separuh pertama tahun ini adalah 8.29% berbanding pada tempoh yang sama bagi tahun lalu. Ini adalah pencapaian yang cemerlang terutamanya dalam keadaan ekonomi global semasa,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi.

Terdapat tujuh (7) kategori bagi anugerah tersebut iaitu; Anugerah Agropreneur Cemerlang, Anugerah Agropreneur Inovasi, Anugerah Agropreneur Muda, Anugerah Agropreneur Wanita, Anugerah Pelanggan Setia (Individu dan Syarikat) dan Anugerah Agropreneur Mikro. Para penerima anugerah telah membawa pulang trofi, sijil dan hadiah wang tunai berjumlah RM110,000.00.

Penilaian pemenang anugerah adalah berdasarkan instrumen yang diselia oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Instrumen ini telah digunakan secara meluas oleh penganjur anugerah antarabangsa. Terdapat tujuh elemen utama dalam penilaian pemenang ini iaitu; Kepimpinan, Perancangan, Informasi, Proses, Modal Insan, Pelanggan dan Hasil.

*Agropreneur merujuk kepada usahawan dalam perniagaan tani; sama ada dalam aktiviti huluan atau hiliran bagi sektor pertanian.

DSC_6905_Mid DSC_6888_Mid DSC_7083_Mid