200 Murid Sekolah Rendah Sekitar Selangor Terima Bantuan Kembali Ke Sekolah Agrobank 2024
KUALA LUMPUR, 5 MAC 2024 – Agrobank hari ini menyerahkan bantuan kewangan sebanyak RM30,000 bagi manfaat 200 orang murid sekolah rendah sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin mengulas, “Sempena dengan bermulanya kembali sesi persekolahan, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban yang perlu ditanggung ibu bapa khususnya daripada golongan B40 untuk melakukan persiapan awal perbelanjaan persekolahan. Usaha ini selaras dengan tanggungjawab kami dalam memberikan akses kepada pendidikan bagi komuniti terhimpit.”
Murid-murid dan ibu bapa yang hadir turut diberikan pendedahan mengenai ilmu pengurusan kewangan melalui ‘Program Celik Wang’. Program literasi kewangan ini bertujuan untuk memupuk sifat berhemat ketika berbelanja agar dapat melahirkan generasi yang bijak dalam membuat keputusan kewangan.
Selain menerima bantuan dalam bentuk wang ringgit, murid-murid ini turut menerima beg sekolah dan botol air. Seramai 200 ibu bapa turut hadir meraikan majlis ini. Agrobank, sebagai institusi kewangan pembangunan, akan terus komited untuk membantu komuniti tempatan dalam menggiatkan lagi usaha dan tanggungjawab menyalurkan manfaat.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang produk dan servis yang ditawarkan Agrobank, sila kunjungi cawangan yang berhampiran atau layari www.agrobank.com.my.