AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

AGROBANK PERLUAS PERKHIDMATAN KEWANGANNYA DENGAN PEMBUKAAN PUSAT PEMBIAYAAN KOMERSIAL DI HUTAN MELINTANG, PERAK



HUTAN MELINTANG – Agrobank hari ini memperluaskan perkhidmatan kewangannya dengan membuka sebuah lagi Pusat Pembiayaan Komersial yang kedua di Hutan Melintang, Perak. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri sambil diriingi Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta yang Berbahagia Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank.

Pusat Pembiayaan Komersial Hutan Melintang merupakan pusat pembiayaan komersial kedua seumpamanya yang dibuka selepas Cameron Highland, Pahang yang dirasmikan Oktober tahun lalu. Pusat Pembiayaan Komersial ini memberi fokus untuk memberi khidmat nasihat dan pemprosesan pembiayaan komersial di bawah RM10 juta.

Menurut YBhg Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank, pembukaan Pusat Pembiayaan Komersial di Hutan Melintang ini merupakan inisiatif strategik Agrobank kerana lokasi ini mempunyai potensi dan peluang yang positif terutamanya dalam bidang perniagaan berasaskan pertanian.

 “Konsep Pusat Pembiayaan khusus ini telah diperkenalkan sejak dua tahun lalu yakni ia mengkhususkan pembiayaan kepada dua jenis pembiayaan iaitu komersial dan korporat. Untuk pembiayaan komersial kami menawarkan pembiayaan bernilai RM51,000 sehingga RM10 juta. Manakala untuk pembiayaan korporat kami menawarkan pembiayaan bernilai lebih RM10 juta ,” kata Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Tambah beliau lagi, kawasan Hutan Melintang mempunyai potensi dan prospek perniagaan yang positif terutamanya untuk aktiviti berasakan perikanan. “Potensi dan peluang perniagaan yang ada di kawasan ini sangat adalah sangat positif dan ini merangsang kami untuk membuka Pusat Pembiayaan Komersial di sini. Ia dapat dilihat pada prestasi perniagaan yang memberangsangkan direkodkan di Pusat Pembiayaan ini yakni untuk tahun 2017 sahaja (Januari – Oktober 2017), Pusat Pembiayaan Komersial Hutan Melintang ini telah merekodkan pembiayaan keseluruhan bernilai RM73.91 juta. 

Pendapat yang sama disuarakan Yang Berhormat Dato’ Sri Diraja Ahmad Zahid Hamidi bahawa potensi dan peluang pertanian yang ada di negeri Perak terutamanya di kawasan Bagan Datuk ini adalah sangat tinggi dan dengan pembukaan Pusat Pembiayaan Komersial Agrobank ini mampu meningkatkan rangkaian usahawan pertanian di negeri Perak.

 “Kawasan Bagan Datuk meliputi 40% aktiviti perikanan daripada sumber ekonomi keseluruhan di kawasan ini dan tambahan lagi Bagan Datuk merupakan kawasan yang  sedang giat membangun dengan potensi kawasan penternakan yang telah digazetkan di bawah Zon Industri Aquaculture (ZIA) Rungkup dan Sg Pulau dengan keluasan masing-masing 541.5ha dan 120ha. Oleh yang demikian, dengan pembukaan pusat pembiayaan komersial Agrobank di kawasan ia pasti akan memberikan kemudahan/akses kewangan yang lebih baik kepada penduduk sekitar terutamanya kepada komuniti pertanian bagi mendapatkan bantuan kewangan serta khidmat nasihat permohonan pembiayaan berskala komersial,” kata YB Dato’ Sri Ahamd Zahid Hamidi dalam ucapannya. 

Melalui pusat pembiayaan komersial yang baharu ini, pihak Agrobank mensasarkan  peningkatan syer pasaran dari 16% kepada 30% dalam jangka masa dua tahun dari penubuhannya iaitu sebanyak RM111.2 juta  pada tahun ini kepada RM148 juta pada tahun 2017.

Selain dari menyediakan kemudahan pembiayaan, Agrobank juga memberi perkhidmatan tambahan kepada pelanggan-pelanggan dengan memberikan khidmat nasihat, bimbingan dan pembangunan perniagaan kepada mereka melalui pelaksanaan program-program pembangunan keusahawanan dalam bidang pertanian selaras dengan agenda Kerajaan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang merujuk kepada Dasar Agromakanan Negara (2011-2020).

Pada majlis yang dihadiri lebih 700 orang tetamu itu, turut diadakan majlis penyampaian sijil kepada AGROAgent terbaik negeri Perak dan penyampaian zakat kepada 160 orang asnaf dan sebuah rumah kebajikan dan Pusat Zakat Negeri serta penyerahan kad perlindungan Takaful Agro Nurani kepada 130 orang Orang Kurang upaya (OKU).