AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Perkasa Usahawan Sarawak Melalui Skim Kredit Mikro Sarawak Bernilai RM1.1 Juta Sempena Road To MAHA 2024 @ SARAWAK



SARAWAK, 10 OGOS 2024 – Agrobank hari ini menyampaikan replika cek Skim Kredit Mikro Sarawak bernilai RM1.1 juta bertujuan untuk memperkasakan komuniti usahawan Sarawak bersempena “Road to MAHA 2024 @ Sarawak” yang diadakan pada 8 – 11 Ogos 2024.

Majlis penyerahan replika cek Skim Kredit Mikro Sarawak telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada dua wakil penerima di Miri dan Lawas iaitu Encik Chai Lik Yang dan Encik Moren Balakas dengan peruntukan pembiayaan masing-masing sebanyak RM818,000 dan RM284,000.

Skim Kredit Mikro Sarawak merupakan dana yang telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan dalam usaha mempergiatkan industri agromakanan terutamanya di negeri Sarawak. Setakat Julai 2024, Agrobank Sarawak telah meluluskan dana pembiayaan bernilai RM95.4 juta yang merangkumi 2758 peserta.

Menurut Presiden/Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Skim Kredit Mikro Sarawak ini menawarkan pembiayaan kepada sektor servis dan perkhidmatan yang menyumbang kepada industri agromakanan yang merangkumi keseluruhan proses rantaian makanan termasuk pengeluaran hasil sumber, pemprosesan, pengedaran, pemasaran dan perkhidmatan penyediaan makanan. Sebelum ini kami telah menerima dana tambahan sebanyak RM4 juta dalam memperkasa usahawan tempatan.”

Beliau turut berkata, “Aktiviti pertanian adalah sumber ekonomi negara dan tunjang utama untuk mencapai agenda keterjaminan makanan. Oleh itu, dana peruntukan ini akan menarik minat usahawan tempatan untuk menceburi sektor pertanian, perikanan, perladangan atau penternakan. Selain itu, ia juga membuka peluang kepada pemain-pemain industri untuk mengubah landskap pertanian negara ke arah yang lebih maju, moden dan mampan.”

” Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula, dana pembiayaan ini adalah satu keperluan untuk mengembangkan perniagaan mereka supaya dapat menjana pulangan yang lumayan yang setimpal dengan usaha mereka,” tambah beliau.

Dalam majlis yang sama di Miri, Yang Berhormat Datuk Seri Mohamad bin Sabu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga telah menyampaikan cek replika Kelulusan Dana Pembiayaan KPKM berjumlah RM6.23 juta kepada wakil penerima, Dato Yap Foot Loi. Antara Dana Pembiayaan KPKM adalah termasuk:

  1. Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM)
  2. Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA)
  3. Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA)

 

Inisiatif Agrobank memperuntukkan dana untuk pelbagai jenis pembiayaan membuktikan komitmen kami untuk memperkasakan usahawan tempatan. Selain itu, ia juga menggalakkan pemain-pemain industri untuk terus berusaha menggandakan hasil pengeluaran makanan supaya dapat meningkatkan sektor agromakanan negara selaras dengan visi dan misi keterjaminan makanan negara.

Di program road to MAHA 2024 yang sama, Agrobank cawangan Miri dan Lawas telah melancarkan perasmian Komuniti Cashless bertempat di Pasar Tamu Lawas dalam memberi kesedaran tentang kepentingan digitalisasi dan akses kepada perkhidmatan perbankan luar bandar.