Agrobank Perkasa Komuniti Usahawan Melalui Pakej Eksklusif Usahawan Cashless Pasar Tani
SERDANG, 18 SEPTEMBER 2024 – Agrobank hari ini menandatangani memorandum persefahaman bersama FAMA dan melancarkan Pakej Eksklusif Usahawan Cashless Pasar Tani. Inisiatif yang dianjurkan sejak Jun 2024 ini bertujuan untuk memperkasakan usahawan pasar tani dan menaik taraf perniagaan mereka dari aspek kaedah pembayaran tradisional iaitu secara tunai kepada tanpa tunai.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Pakej Eksklusif Usahawan Cashless Pasar Tani ini terbuka kepada semua pelanggan yang baharu atau sedia ada Agrobank, yang telah berdaftar sebagai usahawan pasar tani di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh Malaysia kecuali Sabah dan Sarawak. Inisiatif ini meliputi pelbagai kategori peniaga termasuk penjual ayam, daging, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, hasil laut, barang runcit, telur, makanan, minuman, ikan hiasan, input pertanian, ubat tradisional dan pasarina.”
“Pakej Eksklusif Usahawan Cashless Pasar Tani ini mensasarkan seramai 500 usahawan Pasar Tani di Lembah Klang sebagai permulaan, dengan perancangan untuk diperluaskan ke seluruh Semenanjung Malaysia. Selain itu, usahawan tani juga berpeluang mendapatkan pembiayaan mikro yang ditawarkan Agrobank di mana peruntukan sebanyak RM25 juta disediakan sebagai permulaan kerjasama ini.”
Beliau juga berkata, “Melalui pakej ini, usahawan akan menerima satu unit kanopi lipat Agrobank x FAMA, penulisan wasiat, kad debit Agrobank, perlindungan takaful kemalangan diri sehingga RM20,000 dan paparan standee QR. Manfaat-manfaat merupakan pelaburan awal untuk para usahawan memulakan perniagaan mereka.”
“Selain membuka peluang akses kepada pembiayaan yang lebih inklusif, penggunaan kod QR meningkatkan kecekapan transaksi kerana pembayaran dapat dibuat dengan cepat, mudah dan pantas. Ia juga mengurangkan risiko dalam pengendalian wang tunai di mana penjaja boleh memantau urusan jual beli dan rekod kewangan melalui transaksi dalam talian,” tambah beliau.
Sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) ini disempurnakan oleh Encik Zahid Ahmad Zawawi, Ketua Pegawai Operasi Agrobank dan Encik Abdul Rashid bin Bahri, Ketua Pengarah FAMA sambil disaksikan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Turut hadir, YBrs. En. Aminuddin bin Amenon, Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, YBrs. Tuan Haji Aminuddin bin Zulkipli, Pengerusi FAMA, YBrs. Encik Faisal Iswardi bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA dan YBrs. Encik Shahrizan bin Sudiman, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA.
Melalui kerjasama ini, Agrobank komited untuk memperkasakan komuniti usahawan tani selari dengan arus pemodenan yang membolehkan mereka berdaya saing dan kekal relevan dalam pasaran semasa.