Agrobank Perkasa Komuniti Belia B40 dan Asnaf di Sabah Melalui Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah (PROBEST)
SABAH, 26 JULAI 2024 – Agrobank mengukuhkan komitmennya untuk memperkasakan komuniti belia terutamanya golongan B40 dan asnaf melalui Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah (PROBEST). PROBEST merupakan sebuah kerjasama sinergi antara Agrobank dan universiti-universiti terlibat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Program pada hari ini yang melibatkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) merupakan PROBEST yang dianjurkan buat kali ketujuh.
PROBEST memfokuskan kepada semua industri yang menyumbang kepada rantaian makanan termasuk pertanian, perikanan dan penternakan dengan tempoh penyertaan PROBEST adalah selama satu tahun. Pada enam bulan pertama para peserta akan menjalani sesi bimbingan teknikal dan keusahawanan termasuk ilmu penjualan dan pemasaran daripada syarikat peneraju, manakala pada enam bulan kedua seterusnya perniagaan mereka akan dipantau bagi tujuan penambahbaikan dan sokongan lanjut.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, “Program pembangunan komuniti berstruktur ini dibangunkan untuk golongan belia di universiti terutamanya golongan B40 dan asnaf. Melalui penyertaan mereka dalam program ini, golongan belia dapat meningkatkan taraf hidup dan tahap sosio-ekonomi serta membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendapatan yang dijana. Mereka akan diberikan elaun bulanan sebanyak RM500 pada enam bulan pertama. Pihak Agrobank mensasarkan pendapatan tambahan mereka akan meningkat kepada RM1800 sehingga RM2500 melalui hasil jualan sendiri dan kepada syarikat peneraju bagi setiap musim iaitu selama enam bulan.”
“Sektor pertanian merupakan sumber ekonomi utama negara dan ia menawarkan banyak peluang pekerjaan yang kurang diuar-uarkan dalam kalangan golongan belia. Justeru, penglibatan komuniti belia dalam sektor ini perlu dipergiatkan kerana mereka adalah pelapis untuk memacu masa depan negara. PROBEST adalah salah satu bukti usaha dan komitmen Agrobank untuk mencapai kemajuan dalam bidang pertanian melalui penglibatan belia.”
“Agrobank telah memperuntukkan sebanyak RM2.576 juta untuk kos keseluruhan pelaksanaan PROBEST. Seramai 96 orang pelajar dari universiti-universiti tempatan terlibat dalam PROBEST termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara, Jasin (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Malaysia Sabah dan Kolej Vokasional Pasir Puteh, Kelantan.”
Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah (PROBEST) ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup. Menurut beliau, “KPKM telah melaksanakan pelbagai program khusus bagi membantu dan menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian antara lain termasuklah Program Agropreneur Muda yang mula diperkenalkan sejak tahun 2016. Sehingga Julai 2024, seramai 9,529 orang agropreneur muda telah mendapat kelulusan geran dengan nilai dalam bentuk barangan sebanyak RM174.16 juta. Daripada jumlah tersebut, seramai 745 orang dari Negeri Sabah telah mendapat kelulusan geran agropreneur muda sebanyak RM12.19 juta.”
Melalui program keusahawanan ini, Agrobank berharap ianya dapat mengubah persepsi dalam kalangan masyarakat muda untuk memandang sektor pertanian sebagai cabang pekerjaan yang mampu menjana pulangan yang lumayan di samping merancakkan ekonomi negara melalui sumbangan sektor utama.