Agrobank Dan Myangkasa Konvoi Motosikal Berkuasa Tinggi Agih Sumbangan Zakat
KUALA LUMPUR, 26 SEPTEMBER 2024 – Agrobank menyantuni golongan asnaf menerusi Program Kembara Kasih Asnaf sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-55.
Program Kembara Kasih adalah kolaborasi secara strategik bersama MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB). Inisiatif program ini adalah menerusi jelajah motosikal berkuasa tinggi yang akan disertai oleh 30 orang kakitangan Agrobank dan 7 kakitangan MAAB secara keseluruhan.
Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah berkata “Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan MAAB dalam program jelajah ini. Selain menikmati aktiviti riadah ini, kami dapat menunaikan tanggungjawab sosial korporat dengan menyumbang semula kepada masyarakat tempatan. Tambahan pula, para peserta jelajah motosikal berpeluang membina rangkaian sosial antara satu sama lain.”
Di majlis yang sama Agrobank turut menyumbangkan RM150,000.00 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah bagi inisiatif Saham Wakaf Projek Hassan melalui pembelian mesin bagi pemerkasaan sektor padi di negeri Kedah. Sumbangan ini telah disempurnakan oleh Datuk Yunos Abd Ghani, Pengerusi Agrobank kepada Sultan Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
“Perjalanan jelajah ini akan meliputi hampir 1500 kilometer dan akan berhenti di beberapa negeri antaranya Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Kedah untuk menyampaikan sumbangan zakat kepada penerima-penerima yang telah dikenal pasti. Nilai sumbangan zakat bernilai RM30,000 akan disampaikan dan memanfaatkan hampir 200 asnaf,” tambah beliau.
Program konvoi motosikal berkuasa tinggi yang akan berlangsung selama 5 hari akan turut menyaksikan sumbangan zakat MAAB kepada PERKEP Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) yang terpilih iaitu Cawangan Khas Bukit Aman, IPK Kuala Terengganu dan IPK Pulau Pinang.
Sempena 10 tahun penubuhan MAAB pada tahun ini, MAAB merasa amat teruja dan bertuah kerana dipilih menjadi rakan kolabrasi Agrobank yang merupakan bank yang sinonim dengan aktiviti kemasyarakatan untuk program kembara ini. Bagi menyokong objektif program Kembara Kasih bersama Agrobank, MAAB akan memberikan perkhidmatan pusaka secara percuma kepada beberapa waris anggota polis yang tidak berkemampuan dalam menguruskan harta pusaka sebagai menghargai jasa dan bakti pasukan keselamatan dalam memastikan ketenteraman negara kita. Pada masa yang sama, MAAB akan mengembangkan bidang pengamanahan pada tahun hadapan untuk terus memberi manfaat kepada masyarakat.
Kerjasama strategik ini dapat membantu meringankan beban golongan asnaf dari segi sokongan kewangan untuk menyara kehidupan seharian. Selain itu, inisiatif ini memupuk tali persaudaraan sesama Muslim sejajar dengan prinsip tanggungjawab sosial korporat kami.
Majlis Flag-Off Kembara Kasih Agrobank ini telah disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, disaksikan oleh En Mohamad Darulnizam Mat Darus, Pengarah Urusan, MyAngkasa Amanah Berhad, dan kakitangan Agrobank di perkarangan lobi utama Menara Agrobank.