AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Sumbang RM 1 Juta Dana Zakat Bank untuk Tabung COVID-19 KKM



PUTRAJAYA – Agrobank hari ini telah menyumbang RM 1 juta daripada dana zakat Agrobank ke Tabung COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang akan digunakan untuk membeli peralatan perubatan, ubat-ubatan, peralatan pakai buang dan keperluan perubatan lain.

Satu Majlis Penyampaian Zakat telah diadakan hari ini di KKM, Putrajaya di mana Dato’ Mustapha Buang, Pengerusi Agrobank telah menyampaikan replika cek sumbangan kepada YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia. Majlis penyampaian tersebut turut dihadiri oleh Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank.

Menurut Dato’ Mustapha Buang, sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab dan peka dengan cabaran yang sedang dihadapi oleh KKM dalam memerangi penularan wabak COVID-19, Agrobank amat berbesar hati dapat menghulurkan bantuan dan memberi sokongan kepada barisan hadapan dalam mengekang penularan pandemik ini.

“Dengan peningkatan jumlah kes COVID-19, kami berharap sumbangan ini dapat membantu KKM dari segi kewangan sekali gus membolehkan KKM memberikan perkhidmatan perubatan yang terbaik kepada pesakit COVID-19,” tambah beliau.

“Sebagai sebuah institusi kewangan, Agrobank merupakan salah satu sektor perkhidmatan penting yang juga menjadikan kami antara barisan hadapan negara. Setiap hari, kakitangan kami sentiasa bersedia untuk membantu pelanggan yang menghadapi masalah kewangan akibat keadaan ekonomi semasa yang tidak stabil kesan daripada pandemik COVID-19. Oleh itu, kami amat memahami cabaran dan risiko yang dihadapi oleh barisan hadapan.”

“Oleh itu, kami amat berterima kasih kepada semua kakitangan perubatan yang telah bekerja keras untuk mengekang penularan COVID-19. Kini, terdapat lebih daripada sepuluh ribu pesakit yang masih dalam rawatan, justeru barisan petugas perubatan ini pastinya memerlukan sokongan yang jitu daripada semua rakyat Malaysia.  Jadi, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada wira negara yang bekerja tanpa mengira masa untuk membanteras penularan wabak COVID-19,” tambah Dato’ Mustapha.

Agrobank akan terus mengutamakan kesejahteraan dan kemajuan masyarakat serta komuniti industri pertanian terutamanya kepada golongan yang kurang mendapat perhatian khususnya pada waktu kritikal ini dengan memberikan sokongan menerusi pelbagai program pembiayaannya.