AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Cakna Tawar Bantuan Kepada Pelanggan Terjejas Banjir



KUALA LUMPUR, 2 JANUARI 2024 – Agrobank hari ini mengumumkan pelan bantuan banjir bagi pelanggan-pelanggan sedia ada yang terkesan berikutan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Pelan bantuan ini merupakan pelan bantuan pembayaran iaitu penjadualan dan/atau penstrukturan semula pembiayaan dan tawaran moratorium sehingga enam (6) bulan, khusus untuk pelanggan-pelanggan bank yang layak. Pelan ini ditawarkan kepada pelanggan Agrobank yang terjejas akibat banjir di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Menurut Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin “Kami memahami kesukaran pelanggan-pelanggan kami yang terkesan akibat banjir baru[1]baru ini. Agrobank proaktif dalam merangka pelan-pelan khusus untuk mengurangkan beban yang dihadapi mereka dan diharapkan bantuan pembayaran ini membantu mereka dalam mengharungi tempoh mencabar ini.”

“Saya dimaklumkan ada di antara pelanggan kami yang mengalami kerosakan pada harta benda, ladang dan kegiatan pertanian mereka. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada sumber pendapatan dan perniagaan mereka”, tambahnya.

“Ada pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memulihkan semula perniagaan. Justeru, bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan bagi membina semula perniagaan masing-masing. Kami di Agrobank juga akan turut menghubungi para pelanggan kami bagi membantu mereka menghadapi situasi ini”.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Bantuan Banjir Agrobank, sila hubungi pusat perkhidmatan pelanggan Agrobank di 1300-88-2476 atau boleh memohon di laman sesawang Agrobank di www.agrobank.com.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan Agrobank.