AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agrobank Agih 11,100 Bubur Lambuk, Sumbang Zakat Di Seluruh Negara Sempena Ramadan



KUALA LUMPUR, 14 MAC 2024 – Agrobank hari ini menyantuni komuniti tempatan dengan mengagihkan 11,100 pek bubur lambuk kepada orang ramai di seluruh Malaysia melalui cawangan-cawangan Agrobank di setiap wilayah. Agrobank juga turut menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada golongan asnaf miskin dan anak yatim bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang menjalani Ramadan.

Di Kuala Lumpur, majlis ini diadakan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Semarak yang diserikan dengan kehadiran Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin. Ketika ditemui di pusat pengagihan, beliau berkata, “Selain membantu mereka yang memerlukan, Agrobank ingin bersama-sama mengimarahkan sambutan Ramadan bersama masyarakat dan berkongsi rezeki untuk dinikmati.”

Tambah beliau, “Agihan zakat kepada kelompok yang memerlukan merupakan komponen penting untuk menjaga kebajikan masyarakat. Agrobank prihatin terhadap golongan susah dan sumbangan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangan mereka dalam menjalani kehidupan seharian.”

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Agrobank, Encik Mohamed Iqbal bin Mohamed Iqbal. Persiapan aktiviti memasak bermula seawal jam 8:30 pagi disusuli dengan pengagihan bubur lambuk kepada komuniti setempat.