AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

AGROAgent Beroperasi Di Sabah



Agrobank Meluaskan Khidmat Perbankan ke Kawasan Luar Bandar

SEMPORNA, SABAH – Agrobank hari ini telah melantik 16 ejen perbankan di peringkat negeri Sabah.Ejen-ejen ini telah dilantik di bawah perkhidmatan terbaharu iaitu AGROAgent, yang telah dilancarkan di peringkat kebangsaan pada Disember 2014.  AGROAgent menerima surat pelantikan yang telah disampaikan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA).

Dengan perkhidmatan terbaharu ini, Agrobank dapat meluaskan lagi perkhidmatan perbankan asas terutamanya di dalam sektor pertanian. Ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyokong inisiatif Bank Negara dalam mendekati segmen masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan perbankan terutamanya di kawasan luar bandar, dengan cara yang lebih efektif melalui ejen perbankan.

Dengan perkhidmatan terbaharu ini, Agrobank telah melantik ejen perbankan di Sabah, untuk memberikan khidmat perbankan asas seperti deposit dan pengeluaran tunai. Khidmat perbankan asas yang lain boleh diuruskan oleh ejen termasuk pemindahan wang, pembayaran bil dan tambah nilai pra bayar.

Menurut. Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, ejen perbankan merupakan cara yang kos efektif untuk bank meluaskan khidmat ke kawasan luar bandar. Dengan adanya ejen yang dilantik dibawah MOA membolehkan bank memanfaatkan platform teknologi dalam menyediakan produk dan perkhidmatan perbankan inovatif kepada semua.

“Dengan khidmat AGROAgent, pelanggan tidak perlu bersusah payah untuk pergi ke bandar yang terdekat bagi membuat pengeluaran dan deposit kerana AGROAgent ditempatkan di lokasi yang strategik dalam kawasan kejiranan mereka. Kami memanfaatkan rangkaian yang disediakan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian (MOA).  Malah, perkhidmatan baharu yang disediakan oleh Agrobank membuktikan komitmen Bank dalam menyediakan kemudahan perbankan asas kepada masyarakat di luar bandar seperti mana peranan yang dimandatkan kepada kami” jelas Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Agrobank mensasarkan untuk melantik 366 ejen di seluruh Negara termasuk Sabah dan Sarawak menjelang akhir tahun 2015. Agrobank akan terus menyokong agenda nasional dalam mempromosikan perbankan inklusif dan meningkatkan akses kepada servis perbankan formal di seluruh Negara.  

“Setakat ini, sebanyak 36 ejen Agrobank telah didaftarkan di seluruh negara bagi membantu dalam memberikan perkhidmatan yang efisyen kepada komuniti luar bandar. Sehingga kini, Sabah mencatatkan bilangan AGROAgent yang tertinggi iaitu sebanyak 16 AGROAgent. Saya yakin dari semasa ke semasa bilangan AGROAgent di Malaysia akan ditingkatkan demi memberi perkhususan yang total kepada semua.” kata Y.H. Dato’ Wan Mohd Fadzmi.  

Pada majlis tersebut, Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut menyampaikan surat pelantikan kepada 16 AGROAgent baru di Sabah. Turut hadir menyaksikan upacara itu ialah Puan Marina Abdul Kahar, Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris Bank Negara Malaysia, YB Datuk Jaujan Hj.Sambakung, ADUN N.52 Sulabayan, YB Datuk Seri Hj.Nasir  Bin Tun Hj.Sakaran, ADUN N.53 Senallang, YB Datuk Hj.Ramlee Bin Marabahan, ADUN N.54 Bugaya dan YB Dato’ Seri Saipolbahari Bin Haji Suib, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Puan Marina Kahar, Pengarah, Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris, Bank Negara Malaysia  berkata, sejak inisiatif perbankan ejen diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2012 di bawah Pelan Sektor Kewangan 2011 – 2020, Malaysia telah pun mencapai tahap rangkuman kewangan atau “financial inclusion” yang tinggi di mana 99%  penduduk mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan sama ada menerusi cawangan bank atau ejen. Kini,  96% daripada jumlah mukim yang mempunyai penduduk melebihi 2,000 orang atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah mendapat manfaat daripada kemudahan perbankan asas, berbanding dengan hanya 46% pada tahun 2011. Selaras dengan hasrat Bank Negara Malaysia meningkatkan lagi tahap rangkuman kewangan di Malaysia, perkhidmatan perbankan ejen akan diperkembangkan supaya lebih ramai orang dapat  mengambil bahagian dalam sistem kewangan formal dan meningkatkan penggunaan perkhidmatan kewangan di kalangan segenap lapisan masyarakat.  

Y.B. Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob hari ini juga turut merasmikan cawangan Agrobank Semporna.