AGROBANK Logo
  • Muat Turun
  • Cawangan/ Lokasi ATM
  • Search

Agenda Agro Melaka Fokus Prospek dan Peluang Bisnes Agro



MELAKA – Agrobank hari ini meneruskan penganjuran siri ketiga bicara bisnes iaitu “Agenda Agro: Prospek dan Peluang dalam Sektor Pertanian” yang diadakan di Melaka. Program ini telah dihadiri 150 orang tetamu yang terdiri daripada pelanggan Agrobank dan usahawan di negeri Melaka.

Inisiatif program Agenda Agro ini dilaksanakan adalah untuk berkongsi dengan pelanggan Agrobank dan usahawan mengenai peluang dan maklumat terkini yang ada dalam sektor pertanian dan industri asas tani.  Program ini memberi ruang buat para pelanggan yang hadir untuk berinteraksi dan berhubung terus dengan pegawai Agrobank bagi mendapatkan penerangan dan maklumat tentang sektor pertanian dan industri asas tani.

Menurut Khadijah Iskandar, penanggung tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Agrobank sentiasa berusaha untuk membantu para usahawan melalui inisiatif seumpama ini.  Selain pembiayaan komprehensif yang ditawarkan, program perkongsian bisnes seperti ini dapat membantu para pelanggan untuk merangka perancangan strategik terutamanya dalam mengembangkan empayar perniagaan mereka.

“Sebagai makluman, Melaka merupakan sebuah negeri yang berpotensi besar dalam industri penternakan ayam. Potensi ini dapat dilihat pada prestasi memberangsangkan negeri ini di mana setakat Ogos 2019 jumlah pembiayaan Agrobank di negeri Melaka adalah sebanyak RM183.69 juta, iaitu peningkatan tahun ke tahun sebanyak 27.15%, di mana ianya adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan yang dicatatkan pada tahun 2018 iaitu sebanyak RM144.46 juta untuk tempoh masa yang sama,” kata Khadijah.

Pada majlis yang sama, PROKHAS juga turut menyampaikan pembentangan berkaitan dengan Skim Jaminan Modal Kerja (SJMK) di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP). SJMK dilaksanakan untuk membantu syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelbagai sektor untuk mendapat akses kepada pembiayaan daripada institusi-institusi kewangan yang terlibat (termasuk Agrobank).

Di majlis itu juga, turut diadakan beberapa penyampaian lain iaitu:

  • Penyerahan surat tawaran pembiayaan kepada pelanggan Agrobank di Melaka bagi bulan Ogos hingga September 2019. Seramai lima (5) orang penerima menerima surat tawaran pembiayaan Agrobank dengan jumlah keseluruhan pembiayaan sebanyak RM14.595 juta.
  • Penyerahan penajaan Takaful Agro Nurani oleh sebuah syarikat korporat iaitu Jalen Sdn Bhd kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor dengan jumlah tajaan sebanyak RM25,500.00. dengan jumlah manfaat perlindungan bernilai RM463 juta.

Melaka merupakan lokasi ketiga Agenda Agro bagi tahun ini selepas Terengganu dan Sarawak. Ini merupakan Agenda Agro yang terakhir bagi tahun 2019.